SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyifatkan kemenangan di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) ini adalah satu permulaan yang baik.
Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, ia secara tidak langsung menunjukkan yang gabungan itu mula diterima masyarakat di negeri berkenaan.
"Ini adalah satu pencapaian dan satu permulaan yang baik kerana seperti mana yang kita tahu sebelum ini (Pilihan Raya Umum ke-14) PN tidak memenangi satu kerusi pun di Negeri Sembilan.
"Bermakna dengan kemenangan lima kerusi ini adalah satu pencapaian yang cukup baik sebagai langkah untuk kita bersama-sama dalam Negeri Sembilan (pembangkang)," katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan Utama PN di Paroi pada Sabtu.
Menurutnya, dengan kemenangan itu juga sekali gus adanya suara pembangkang di DUN Negeri Sembilan.
PN menang di DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu.
Mengulas mengenai kekalahan dengan majoriti kecil di berapa kerusi, Rafiei berkata, ia juga isyarat baik kepada PN bahawa gabungan Pas dan Bersatu mula diterima.
"Contohnya di DUN Lenggeng dan Sungai Lui yang mana majoriti kecil. Saya percaya perkara ini tidak mematahkan semangat parti, calon dan pengundi di kawasan berkenaan," katanya.
Dalam masa sama beliau turut mengucapkan tahniah kepada gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) kerana menang di negeri beradat itu.