SIBU - Seorang kakitangan Politeknik Mukah maut apabila kereta Perodua Bezza yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Alza yang dipandu seorang warga emas di Kilometer 7, Jalan Mukah-Oya, kira-kira 157 kilometer dari sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhammad Rizal Alias berkata, pasukan perubatan Hospital Mukah yang tiba di lokasi nahas mengesahkan Dimas Masri Hasnawi, 48, penumpang di tempat duduk bahagian hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian, dalam kemalangan pada kira-kira pukul 8 malam itu.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, kejadian berlaku semasa lelaki itu bersama isteri dan tiga orang anak mereka dalam perjalanan dari Mukah ke Oya, manakala Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 74 tahun pula sedang bergerak dari arah bertentangan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Alza itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, pemandu dan empat penumpang Alza, serta isteri dan anak-anak Dimas, mengalami kecederaan akibat kemalangan.
Muhammad Rizal berkata, mayat telah dihantar ke bilik mayat Hospital Mukah, manakala kenderaan-kenderaan terlibat dalam kemalangan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Mukah untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama