PELAKON Zara Zya mendedahkan insiden gangguan seksual yang dihadapinya sejak beberapa bulan lalu bukan kali pertama berlaku.
Sebaliknya, pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd Zainuddin itu sudah diganggu beberapa individu berbeza sejak beberapa tahun lalu secara 'on off'.
Bagaimanapun dek tidak tahan lagi menerima gangguan berterusan membuatkan wanita berusia 38 tahun itu nekad mengambil tindakan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam pada Jumaat lalu.
"Walaupun saya dah buat laporan polis, individu tersebut masih mengganggu dengan nombor telefon yang berbeza.
"Lebih mengecewakan, hari ini (Ahad) ada lelaki lain yang hantar gambar kemaluan pada saya. Sebelum ini pun saya pernah diganggu lelaki lain bertahun lamanya secara 'on off'," ujarnya kepada Sinar Harian.
Tambah Zara, apa yang diharapkan pihak polis dapat mengambil tindakan segera terhadap lelaki biadab dan kes ini tidak berpanjangan untuk satu tempoh yang lama.
"Saya sedar ada juga diekori," katanya ringkas.
Dalam perkongsian pada Sabtu, Zara mendedahkan telah mendapat gangguan secara seksual oleh seorang individu secara lisan dan hantaran gambar tidak sopan bersama panggilan telefon setiap malam.
"Tindakan itu mengganggu emosi saya. Gangguan ini berlarutan sejak beberapa bulan lepas dan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan pada saya," jelasnya.
Bukan itu sahaja, pelakon Risik Pada Hati itu turut membuat satu lagi laporan polis terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama dan gambarnya berkaitan scam pelaburan secara dalam talian.
"Ada orang menggunakan nama dan gambar saya dalam penipuan/scam pelaburan secara dalam talian di Facebook (Kerja Kosong Ipoh 2023) baru baru ini.
"Terima kasih pada pihak PDRM kerana telah mengambil keterangan saya dan saya berharap tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pelaku-pelaku ini," katanya lagi.