Tidak sampai 24 jam, harimau kumbang masuk perangkap

Iklan
Seekor harimau kumbang jantan berjaya masuk perangkap yang dipasang Perhilitan Perak di Kampung Bawong, Sungai Siput pada Ahad. Foto ihsan pembaca

SUNGAI SIPUT - Seekor harimau kumbang jantan berjaya ditangkap dalam tempoh 24 jam selepas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memasang perangkap di Perlop 5 di sini pada Ahad.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, perangkap bersama umpan anak kambing itu dipasang selepas menerima aduan penduduk mengenai kehadiran haiwan liar itu pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Harimau kumbang berkenaan dipercayai memasuki perangkap awal pagi dan anggota Perhilitan yang menerima maklumat digerakkan untuk memeriksa perangkap tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurut beliau, harimau kumbang dianggarkan berusia sembilan tahun dengan berat lebih 40 kilogram itu berada dalam keadaan sihat.

Iklan

"Kita telah panggil pihak veterinar dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Operasi menyelamat dan melepaskan akan dijalankan di lokasi sesuai jauh dari penempatan manusia selepas harimau itu disahkan dalam keadaan baik," katanya.

Iklan

Tambah Yusoff, pihaknya telah menyelamatkan empat harimau kumbang iaitu dua ekor di Gerik dan Sungai Siput tahun ini daripada diancam kepupusan.