Undian sukar tapi tak mustahil: Bojan

Iklan
Bojan Hodak. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka berdepan laluan sukar mara ke pusingan akhir selepas diundi dalam ‘kumpulan maut’ pada pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Bawah 19 Tahun (B-19) di Kemboja, November ini.

Berdasarkan undian diadakan di AFC House di Bukit Jalil di sini hari ini, skuad negara bimbingan Bojan Hodak diundi dalam Kumpulan G bersama Thailand, tuan rumah Kemboja, Brunei dan Kepulauan Mariana Utara.

Iklan
Iklan

Sebanyak 46 negara yang dibahagikan kepada 11 kumpulan bakal bersaing bagi merebut tempat ke pusingan akhir dengan juara setiap kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua mara ke pusingan akhir.

Pusingan kelayakan akan berlangsung dari 2 hingga 10 November ini di negara tuan rumah yang dipilih.

Iklan

Bojan menyifatkan undian tersebut sukar dengan ujian sebenar adalah berdepan dengan Thailand dan Kemboja.

"Pertemuan sukar adalah dengan Thailand dan tidak menolak kemungkinan Kemboja juga. Selain menggunakan padang tiruan, Kemboja juga telah menunjukkan peningkatan selepas bermain sebagai satu pasukan dalam liga negara itu," kata jurulatih kelahiran Croatia berusia 47 tahun itu selepas undian tersebut.

Iklan

"Walaupun tidak seteruk menentang pasukan lain, sekurang-kurangnya semua pasukan dalam kumpulan adalah dari Asia Tenggara. Adalah baik kerana kami dapat bertemu beberapa pasukan itu pada Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019, Ogos ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, undian tersebut tidak mematahkan semangat beliau untuk merancang persediaan yang terbaik bagi mencapai keputusan terbaik pada peringkat kumpulan serta melangkah ke pusingan akhir dengan bergaya.

"Kami yakin boleh mengatasi mana-mana pasukan apabila berada pada tahap yang baik pada waktu yang diperlukan. Kini hanya perlu persediaan yang baik dan menggunakan Piala AFF sebagai persediaan terakhir,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia mara ke pusingan akhir kejohanan itu tahun lalu di Indonesia tetapi tersingkir di peringkat kumpulan.

Sementara itu, skuad B-16 negara diundi dalam Kumpulan J bersama juara bertahan, Jepun, Kemboja dan Laos bagi pusingan kelayakan AFC 2020 B-16, juga pada November ini.- Bernama

Undian Kelayakan B-19:

(Nota: Tanda dalam kurungan [ ] sebagai tuan rumah (TR))

Kumpulan A: Iraq [TR], Oman, Palestin, Kuwait, Pakistan

Kumpulan B: Qatar [TR], Yemen, Turkmenistan, Sri Lanka

Kumpulan C: Tajikstan [TR], Syria, Lubnan, Maldives

Kumpulan D: United Emiriah Bersatu (UAE), Iran [TR], Republik Kyrgyz, Nepal

Kumpulan E: Jordan, Bahrain [TR], Bangladesh, Bhutan

Kumpulan F: Arab Saudi [ TR], Uzbekistan, India, Afghanistan

Kumpulan G: Thailand, MALAYSIA, Kemboja [TR], Brunei, Kepulauan Mariana Utara

Kumpulan H: Australia, Taiwan [TR], Macau, Laos

Kumpulan I: Korea Selatan, China, Myanmar [TR], Singapura

Kumpulan J: Jepun, Vietnam [TR], Mongolia, Guam

Kumpulan K: Indonesia [TR], Korea Utara, Hong Kong, Timor-Leste