Rahsia versi reboot cengkam adrenalin

Iklan

Sejujurnya penulis tidak pernah menonton filem Rahsia yang diterbitkan pada 1987.

Naskhah arahan pengarah veteran, Othman Hafsham itu pernah dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7, sementara Othman sendiri membawa pulang trofi Pengarah Terbaik.

Iklan
Iklan

Namun, bagi yang pernah menonton, pengumuman Astro Shaw untuk membawakan kembali naskhah hebat yang turut menggondol beberapa anugerah lain di FFM7 itu disambut dengan tangan terbuka.

Salah satu adegan dalam filem Rahsia.

Ramai tidak sabar melihat Rahsia versi reboot yang diarahkan oleh anak Othman sendiri iaitu Shamyl.

Iklan

Lebih mengujakan apabila Shamyl memilih pelakon yang tidak kurang hebatnya sebagai teraju utama seperti Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Eman Manan dan Marsha Milan.

Justeru, antara persoalan yang diutarakan, berjayakah Shamyl mengulangi kejayaan bapanya 36 tahun lalu?

Iklan

Oleh sebab penulis tidak pernah menonton filem asal Rahsia, maka ulasan kali ini berdasarkan apa yang ditonton ketika tayangan awal filem berkenaan minggu lalu.

Nabila tampil cemerlang sebagai Ramlah.

Filem Rahsia versi 2023 berbeza 70 peratus daripada filem asal kerana Shamyl bukan menghasilkan semula Rahsia, sebaliknya dia mengambil sedikit inspirasi daripada karya tersebut.

Secara ringkasnya ia mengisahkan Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersama suaminya, Hamdan dan dua anak mereka, Marina serta Saiful.

Namun, keadaan menjadi kucar-kacir apabila Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai. Anehnya, hanya Ramlah yang melihat Saiful diculik oleh kelibat seorang wanita hodoh.

Sepanjang tempoh pencarian anaknya, Ramlah diganggu dengan peristiwa pelik sehingga Hamdan menuduhnya mengalami halusinasi.

Percaya dengan apa yang dilaluinya benar, Ramlah nekad mencari jawapan dan membawanya kepada rahsia besar tersimpan selama ini.

Marsha tidak kurang hebatnya sebagai Melor.

Uji kesabaran

Perjalanan filem itu disusun dengan cukup baik. Seawal 15 minit, penonton sudah disogok dengan babak seram dan mendebarkan, sekali gus mengunci perhatian penonton.

Shamyl seterusnya menyelitkan kejutan demi kejutan yang menyesakkan sehingga membuatkan penulis sendiri tidak sabar mengetahui misteri di sebalik kehilangan Saiful.

Walau muncul tidak sampai separuh jalan cerita, lakonan Eman Manan tetap meninggalkan kesan.

Pujian kepada Nabila Huda yang berjaya membawa watak Ramlah dengan cukup berkesan, begitu juga Marsha yang tampil cemerlang walaupun di sebalik solekan menakutkan.

Tidak sukar memahami jalan cerita Rahsia walaupun ada ketikanya mata tertutup, cuma mungkin disebabkan filem itu menjalani penggambaran tiga tahun lalu, maka ada sedikit kekurangan dari sudut teknikal. Namun, ia tidak mengganggu keseluruhan jalan cerita.

Rahsia

PENGARAH: Shamyl Othman

PELAKON: Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Nur Qistina Raisah, Syed Ali, Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak

GENRE: Seram

DURASI: 1 jam 30 minit

KLASIFIKASI: 13

TAYANGAN: 10 Ogos 2023

BINTANG: 4/5