PUTRAJAYA - Tetamu Diraja akan menyerikan program berbuka puasa beramai-ramai yang memasuki tahun kelapan penganjuran, Iftar@Kuala Lumpur 2019, yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan di Jalan Raja, Dataran Merdeka.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat ke program itu pada 25 Mei ini.
Iklan
Iklan
Beliau berkata program Iftar@Kuala Lumpur diadakan untuk mempromosikan program pelancongan Islamik serta menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Seni dan Budaya di peringkat antarabangsa selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
"Kita harap masyarakat mengambil kesempatan untuk hadir memeriahkan majlis yang akan diisi pelbagai aktiviti dan seterusnya berbuka puasa bersama-sama Baginda berdua,” katanya pada sidang media pengumuman program berkenaan di sini hari ini.
Mohamaddin berkata Yang di-Pertuan Agong juga dijangka mengagihkan bubur lambuk kepada hadirin pada hari berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli yang turut hadir pada sidang media itu berkata program tahun ini melibatkan 18 rakan strategik serta 15 aktiviti antaranya majlis berbuka puasa, penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, tadarus al-Quran dan Klinik Tahsin al-Quran.
Beliau berkata JKKN sebagai penganjur program yakin bilangan pengunjung akan melebihi 70,000 orang pada tahun ini.- Bernama