Operasi padam kebakaran kontena masih diteruskan

Iklan
Operasi pemadaman kebakaran di kapal MV KMTC Shenzhen di Pelabuhan Klang yang memasuki hari kedua pada Ahad masih dijalankan.

PELABUHAN KLANG - Operasi pemadaman kebakaran kontena di kapal MV KMTC Shenzhen di sini yang masuk hari kedua pada Ahad, masih diteruskan.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasan Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, operasi pemadaman masih dijalankan pihaknya dengan kerjasama agensi sahabat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru ini disambung bermula jam 1 pagi pada hari kedua.

"Pemantauan berterusan telah dilaksanakan dan mendapati masih terdapat kontena yang berasap.

Iklan

"Kapal KM Bagan Datuk dan bot Perkasa 35 dari Maritim Negeri Selangor telah diatur gerak bersama aset MV Polaris dari Jabatan Laut Malaysia, bot Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor serta empat bot tunda daripada Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Sharenliza (tengah) berbincang bersama agensi sahabat dalam usaha memadam kebakaran kontena di kapal MV KMTC Shenzhen di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, JBPM Selangor juga telah menghantar 10 pegawai dan anggota dari Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bagi membantu menilai risiko dan merancang pelan tindakan susulan.

Iklan

Katanya, pihak bomba memaklumkan terdapat 1,189 kontena di kapal terbabit di mana sembilan dilaporkan terbakar setakat ini.

"Operasi menyelamat yang dikoordinasikan Maritim Selangor setakat ini berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kawasan yang berisiko tinggi.

"Seramai 18 kru kapal termasuk kapten dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

Tambahnya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Bilik Gerakan Krisis Westport bagi mengkoordinasikan dan memantau kerja-kerja pemadaman api.

"Perkembangan berhubung insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.