Sanusi beri jaminan ADUN PN tidak akan terpalit rasuah

Iklan
Muhammad Sanusi ketika berucap di program Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah, di sini pada Ahad malam.

ALOR SETAR - Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah pimpinannya tidak akan terpalit dengan rasuah atau penyelewengan.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, beliau turut tidak mengizinkan mana-mana ADUN berkejar ke sana sini mencari projek untuk diri sendiri atau kawan-kawan.

Iklan
Iklan

"Jangan terdetik di hati kalian untuk cari kebahagiaan pada diri dan keluarga dulu.

"Saya beri jaminan kepada tuan-tuan dan puan-puan malam ini selama saya diberi amanah mengetuai jentera ahli-ahli yang berhormat di peringkat DUN di Kedah ini, saya akan pastikan mereka ini semua tidak akan menjadi kaya," katanya ketika berucap di program Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah, di sini pada Ahad malam.

Iklan

Menurutnya, ADUN yang dikesan melakukan kesalahan terbabit akan dilaporkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) untuk diambil tindakan.

"Oleh yg demikian cabaran terbesar para ADUN para pimpinan PN adalah kekal bersih dan stabil sampai ke hujungnya," katanya.

Iklan

Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri turut menegaskan agar ahli yang telah bekerja untuk menangkan ADUN, tidak cuba mengambil peluang untuk menjadi kaya.

"Tuan- tuan semua ahli dan para pembantu yang dah bantu menangkan PN di peringkat negeri jangan meronta-ronta menarik seluar ADUN mahukan sesuatu, berharap sesuatu, berharap jadi kaya.Benda itu tidak akan pernah ada di Kedah ini.

"Kita berkawan dengan wakil rakyat semata-mata untuk bantu mereka servis rakyat sahaja,"katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, PN berjaya mengekalkan penguasaannya di Kedah apabila memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan PN yang ditunjangi Pas bersama Bersatu akan terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri Kedah.