Polis serbu kondo mewah, rampas dadah RM655,000

Iklan
Dadah yang dirampas polis dalam serbuan di dua kondominium mewah di Cheras dan Semenyih.

KUALA LUMPUR - Taktik seorang lelaki yang menjadikan dua kondominium mewah di Cheras dan Semenyih, sebagai tempat penyimpanan dadah terbongkar selepas diserbu polis, pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di kawasan parkir kondominium di Cheras pada jam 3.15 petang.

Iklan
Iklan

"Kita merampas 10 ketulan dadah jenis heroin base anggaran berat 3.8 kilogram (kg) dan dadah syabu seberat 10 kg di kondominium di Cheras. Nilai keseluruhan rampasan dadah RM655,000.

"Kita turut merampas wang tunai RM10,200 dalam serbuan di kondominium di Semenyih," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mohd Shuhaily berkata, suspek dikesan bergerak aktif sejak dua bulan lalu.

"Modus operandi suspek adalah dengan menjadikan unit kondominium mewah sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dijual kepada pembeli," katanya.

Iklan

Beliau berkata, suspek merupakan penjaga stor dan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan selepas menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ketua sindiket.

"Kita masih menjalankan siasatan untuk mengesan dan menangkap lelaki tersebut," katanya.

Menurutnya, suspek yang masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan tetap menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah. Lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 17 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.