PENGENDALI baharu Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou berharap The Lilywhites yang berwajah baharu dapat mendepani cabaran musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa kelibat Harry Kane.
Biarpun mengakui kehilangan bekas kapten paling berpengaruh buat kelab London memberi kesan, namun Postecoglou percaya pemain yang masih kekal berupaya menghasilkan keputusan lebih positif.
"Kelab bola sepak bergerak dengan pantas, saya tidak perlu menerangkan situasi semasa Tottenham. Malah, saya juga tidak perlu memberitahu pemain kelab tanggungjawab masing-masing.
"Kami perlu menyediakan pasukan untuk perlawanan yang akan ditempuhi, setiap pemain tahu mengenai perkara ini.
"Jika anda merasakan kami terganggu, atau saya terganggu, atau orang lain, anda akan dapat melihat buktinya hari ini. Kami menunjukkan daya tahan sebenar dan akan menjadi tahun yang mencabar,” katanya.
Tottenham menyingkap tirai liga di bawah era kepimpinan baharu Postecoglou dengan meraih keputusan seri 2-2 menentang Brentford di Stadium Komuniti Gtech pada Ahad.
Sebagai rekod, ini merupakan perlawanan domestik pertama Tottenham tanpa kelibat Kane yang menyertai gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich.
Mengulas lanjut warga Australia kelahiran Greece itu berkata,"Kami perlu menyediakan pasukan terbaik untuk perlawanan yang akan ditempuhi, setiap pemain tahu mengenai perkara ini.
"Harry Kane adalah tokoh besar untuk kelab ini sejak sekian lama dan akan terus kekal sama ada dia berada dalam bangunan Tottenham atau tidak.
"Kami di sini hanya mahu memberikan penyokong sedikit harapan dan kepercayaan kepada pasukan,” kata Postecoglou.