KOTA BHARU - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad melihat politik 'songsang' yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu merugikan negara, Islam dan Melayu.
Beliau berkata, cara berpolitik yang membawa pemikiran taksub kepada kepartian, sentimen perkauman dan keagamaan songsang perlu ditolak kerana ia tidak membangunkan pemikiran Melayu Islam di negara ini.
"Pemikiran politik yang dibawa PN khususnya Pas... benda ini (pembangunan) semua tidak penting. Tidak payah tengok prestasi, tidak payah nak tengok pentadbiran dengan baik. Yang penting memenangkan puak kita (PN).
"Situasi itu menyebabkan pengundi tidak mengambil kisah langsung soal prestasi wakil rakyat. Hal ini dapat dilihat apabila orang (wakil rakyat) yang tidak menunjukkan prestasi baik masih lagi diundi.
"Pemikiran politik sebegini akan merugikan rakyat, Melayu, Islam sehingga dikatakan biar puak kita (PN) memerintah tapi mundur tidak mengapa. Jika perkara ini berterusan ia akan merugikan negara dan rakyat," katanya semasa sidang akhbar Amanah Kelantan, di sini pada Isnin.
Hadir sama wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Dr Hafizdah Mustakim.
Menurut beliau, pada PRN lalu semua parti yang bertanding menunggu untuk dihukum oleh rakyat secara adil menerusi sistem demokrasi namun perkara tersebut tidak berlaku.
Ujarnya, pemikiran politik yang dibawa PN menyebabkan negeri yang tidak menunjukkan prestasi baik tetap dipilih rakyat bukan sebaliknya.
"Biar puak mereka (PN) memerintah tapi mundur tidak mengapa" katanya.