IPOH - Sebuah syarikat dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menggunakan barang kawalan diesel dalam menjalankan perniagaan tanpa permit, Januari lalu.
K2 Bitumen Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Datuk Loke Mei Chan, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, syarikat itu didapati melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menggunakan barang kawalan diesel sebanyak 19,546 liter dalam menjalankan perniagaan tanpa permit yang dikeluarkan oleh Pengawal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang di Batu Gajah sekitar jam 10.55 pagi pada 13 Januari lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan kedua atau kesalahan berulang didenda tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, Orang Kena Saman (OKS), Mei Chan didakwa bagi kesalahan sama di lokasi sama pada waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 22 (4) Akta Kawalan Bekalan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya dan untuk kesalahan kali kedua atau kesalahan berulang denda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Syazwani Zawawi manakala OKS diwakili peguam, Muhammad Iman Johar.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tiada jaminan dikenakan kepada OKS dan kes disebut semula pada 22 September depan.