SHAH ALAM - Tiada pemandu kedua dan tidak mengemaskini buku log perjalanan antara kesalahan yang dikesan menerusi operasi bas ekspres di sekitar negeri ini pada Ahad.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi bermula jam 5 petang itu dijalankan pihaknya di Terminal Seksyen 17, Shah Alam; Terminal Jalan Reko, Kajang, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Plaza Tol Awan Besar, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Gombak.
Menurutnya, operasi sehingga jam 9 malam itu mengesan 49 kesalahan.
"Mengikut pecahan, kesalahan teknikal seperti cermin retak serta tayar botak adalah paling tinggi iaitu 30 kes, tiada pemandu kedua (16) dan tidak kemas kini buku log (3).
"Kesalahan ini dikesan hasil pemeriksaan 117 buah bas bagi memastikan pemandu yang membawa kenderaan perkhidmatan awam mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, kes terbabit disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, JPJ Selangor mengesan kebanyakan pemilik bas tidak menggunakan dua pemandu bagi perjalanan jarak jauh dengan alasan jimat kos bayar gaji pemandu selain sebahagian pemandu beri alasan lupa untuk mengisi buku log perjalanan.
"Penguatkuasaan secara berterusan akan diadakan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu yang ingkar peraturan ditetapkan," ujarnya.
Tambahnya, sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh salurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan.