KUALA LUMPUR - Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada Isnin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah membuat sebarang pertanyaan mengenai sumber RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya di AmIslamic Bank Berhad.
Zeti, 76, berkata demikian ketika memberi jawapan kepada soalan dalam pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Kamal Bahrin Omar, pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang berkaitan dengan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kamal Bahrin: Adakah Najib pada bila-bila masa bertanya mengenai punca transaksi yang melibatkan empat akaunnya?
Zeti: Tidak.
Kamal Bahrin: Terdapat RM2.6 bilion dalam akaun Najib sebelum pilihan raya umum ke-13. Adakah BNM atau anda mempunyai pengetahuan mengenai jumlah (RM2.6 bilion) dalam akaunnya?
Zeti: Bank pusat dan saya pada masa itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai dana besar dalam akaunnya.
Saksi pendakwaan ke-46 itu juga berkata, mengikut undang-undang, sebaik sahaja BNM mendapat maklumat mengenai transaksi tidak teratur atau mencurigakan, ia dikehendaki memaklumkan agensi undang-undang, seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Oleh itu, BNM tidak dibenarkan untuk memaklumkan kepada orang lain termasuk pemegang akaun,” kata saksi itu.
Sementara itu, ketika disoal oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai wang yang mengalir ke dalam akaun syarikat suami bekas Gabenor BNM itu, Zeti berkata, suaminya, Datuk Dr Tawfiq Ayman adalah orang yang memaklumkan pihak berkuasa Singapura mengenai wang meragukan yang mengalir ke dalam akaun syarikat milik suaminya itu, Cutting Edge Industries Ltd.
Zeti berkata, suaminya menulis surat itu supaya wang berkenaan sepatutnya dikembalikan kepada pelabur dan ia (wang) kembali ke sini (ke Malaysia) hasil arahannya.
Muhammad Shafee kemudian bertanya sama ada Zeti boleh mengemukakan surat yang dikatakan pernah dilihatnya itu, tetapi Zeti berkata dia tidak mempunyai hak untuk berkongsi surat berkenaan kerana perkara itu sedang disiasat oleh polis Malaysia.
Peguam itu kemudiannya menjawab"jadi anda hanya diberitahu mengenai surat itu oleh suami awak?” dan Zeti menjawab"Ya”.
Muhammad Shafee kemudiannya menegaskan bahawa ia hanya bukti dengar cakap.
Selepas pertelagahan hebat antara mereka berdua, Zeti mengulangi bahawa tiada mana-mana ahli keluarganya pada bila-bila masa sekalipun pernah mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang Singapura.
Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN Zeti bongkar isu 1MDB babit Najib
Derma kerabat Arab Saudi tak pernah didedah kepada BNM - Zeti
Skandal 1MDB diklasifikasi NFA oleh Peguam Negara - Zeti
BNM seakan ‘dibiarkan dalam kegelapan’ - Zeti