GEORGE TOWN - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada Isnin mengadakan mesyuarat mengenai pelantikan Timbalan Ketua Menteri (TKM) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang.
Perbincangan pada kira-kira jam 10 pagi itu melibatkan pemimpin-pemimpin PH-BN peringkat negeri sebelum senarai nama diserah kepada pucuk pimpinan pusat parti masing-masing.
Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya telah menghantar senarai nama calon TKM dan anggota exco daripada parti itu pada mesyuarat tersebut.
"Namun keputusan siapa yang akan dipilih atau dilantik dalam kerajaan negeri akan di putuskan oleh pucuk pimpinan pusat PH-BN. Saya difahamkan mereka bermesyuarat malam ini...jadi kita tunggu keputusan itu," katanya ketika pada Isnin.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya turut menyerahkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk calon exco dalam kerajaan negeri dan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
Gabungan PH-BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas memenangi majoriti dua pertiga iaitu 29 kerusi daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan DAP memenangi kesemua 19 kerusi DUN yang ditandingi; PKR (tujuh); Amanah (satu); dan BN (dua); manakala Pakatan Nasional (PN) memperoleh 11 kerusi.
Pihak media pada Isnin menerima surat jemputan daripada kerajaan negeri berhubung istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia ahli mesyuarat kerajaan negeri yang akan berlangsung di Dewan Seri Pinang pada Rabu ini.
Pada Ahad, Chow Kon Yeow, 65, yang merupakan Pengerusi PH Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara. - Bernama