NEW DELHI - Negeri Himachal Pradesh di India dilanda satu lagi gelombang hujan monsun, dengan 21 orang dilaporkan maut dalam dua hari manakala kira-kira 20 lagi tertimbus dalam tanah runtuh di ibu negeri Shimla pada Isnin.
Ketua menteri negeri di utara India itu, Sukhvinder Singh Sukhu meminta penduduk agar kekal di rumah masing-masing ketika hujan turun tanpa henti membanjiri banyak kawasan dan beratus-ratus jalan ditutup untuk lalu lintas.
"Sekali lagi tragedi menimpa Himachal Pradesh, dengan hujan berterusan selama 48 jam yang lalu. Laporan hujan beserta ribut (cloudburst) dan tanah runtuh berlaku di pelbagai bahagian negeri yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda berharga," kata Sukhu.
Himachal Pradesh dan banyak bahagian di utara India mengalami kemusnahan yang meluas semasa musim tengkujuh ini.
Hujan beserta ribut (cloudburst) di daerah Solan mengorbankan tujuh sekeluarga pada Ahad manakala lebih 20 orang terperangkap di bawah runtuhan selepas tanah runtuh mengenai sebuah kuil di kawasan Summer Hill di Shimla.
Sembilan mayat telah dikeluarkan dari lokasi tanah runtuh, menurut laporan media tempatan.
Hujan lebat juga melanda negeri jiran Uttarakhand, di mana paras air Sungai Alaknanda, Mandakini dan Ganga meningkat secara membimbangkan.
Sebuah bangunan kolej runtuh di Dehradun ketika hujan lebat.
Terdapat juga laporan orang ramai dan kereta terkena runtuhan tanah di pelbagai tempat di Uttarakhand.
Lima penduduk terbunuh pada Sabtu apabila kenderaan mereka dihempap oleh runtuhan tanah di daerah Rudraprayag.
Sementara itu, Ketua menteri Uttarakhand Pushkar Singh Dhami dalam catatan media sosial pada Isnin berkata terdapat"ramai korban" akibat hujan lebat di daerah Pauri. - Bernama
: