“Firasat kata saya akan ditembak…”

Iklan
PATRICK

PATRICK

Iklan
Iklan

KLANG - Kesan tembakan di tangan kiri sewaktu bertugas di sempadan Malaysia-Thailand daripada diceroboh Komunis pada 1978 masih dirasai sehingga kini.

Bekas tentera udara, Patrick Lee, 76, berkongsi pengalaman itu sewaktu menerima lawatan wartawan Jejak Wira 3.0 Sinar Harian bersama LBS Bina Group Berhad serta KPJ Healthcare di rumahnya di Jalan Serindit, di sini, baru-baru ini.

Iklan

Kejadian tersebut berlaku pada 14 Ogos 1978 sewaktu beliau yang ketika itu bertugas sebagai krew menghantar tentera beserta bekalan makanan dan peluru dalam misi berkenaan.

Pada hari kejadian, firasatnya merasakan beliau akan ditembak pada hari itu menyebabkannya telah meminta tambahan jaket kalis peluru untuk menutup bahagian belakang badan.

Iklan

"Masa sedang turunkan barang memang ada dengar seperti ‘crack’, ingatkan ada anggota tentera yang terjatuh.

"Sehinggalah, ketika mahu naik semula ke helikopter, saya rasa tangan longlai dan sakit. Ketika itu, baharu sedar tangan sudah ditembak dan minta kapten untuk tinggalkan lokasi,” katanya kepada Sinar Harian.

PATRICK

Katanya, tembakan tersebut mengenai bahagian lengan kiri selain helikopter Nuri yang digunakan ketika itu turut berlubang dengan 17 kesan tembakan.

Bagaimanapun katanya, kecederaan dialami tidak parah dan telah menerima rawatan di Hospital RAAF, Butterworth selain menjalani fi sioterapi selama dua minggu.

Katanya, tangannya itu boleh digunakan untuk kerja berat namun akan terasa kebas setiap kali digenggam."Lepas dengar berita saya ditembak, kawan-kawan datang ke hospital. Mereka fi kir yang bukan-bukan selepas lihat, saya tidak ada di sana.

"Tetapi ketika itu saya sudah pulang selepas terima rawatan dan petangnya saya pergi duduk minum di tempat biasa. Saya bernasib baik kerana kecederaan saya tidak teruk,” katanya.

Menyelamat anggota cedera

Bercerita lanjut, antara pengalaman lain yang tidak mungkin dapat dilupakan adalah ketika menyelamat anggota cedera dan terkorban semasa tragedi Betong-Kroh pada 1976.

Beliau memilih karier itu seawal usia 18 tahun kerana minat selain menganggap pekerjaan itu sebagai ‘rare’ hingga membolehkannya kekal bertahan berkhidmat selama 21 tahun bermula 1966 - 1987.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memulakan tugas pada 1966 di bahagian teknikal selama tiga tahun sebelum dihantar ke Kuching, Sarawak selama lapan tahun hingga 1976 dan seterusnya balik ke Semenanjung dan ditugaskan menjaga sempadan Malaysia-Thailand.

Dr Mohd Muzafariman (kanan) ketika melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas Patrick.

"Saya tak tahu, kenapa ketika itu saya tak ada perasaan takut mati, mungkin kerana itu sudah menjadi tugas seorang tentera, tetapi jika diminta untuk berbuat demikian sekarang, saya tidak mahu,” katanya.

Beliau berharap, jasa dan pengorbanan tentera yang bergadai nyawa menjaga kedaulatan negara dihargai dan tidak dirosakkan oleh tangan pemimpin yang mengamalkan rasuah.

"Dulu tak ada rasuah. Lawan komunis sampai peluru tak ada. Bila peluru nak habis terpaksa kurangkan tembakan dari sepuluh ke lima kali saja.

"Walaupun dahulu susah, tetapi ahli politiknya tidak seteruk sekarang,” katanya.

Lawatan Jejak Wira 3.0 tersebut diketuai Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat, Media dan Digital LBS, Amal Abdul Aziz serta Pegawai Perubatan Unit Kecemasan KPJ, Dr Mohd Muzafariman Mohd Mydin.

Menyantuni ‘unsung hero’

Dalam pada itu, Amal berkata, Jejak Wira merupakan usahasama yang memasuki tahun ketiga antara LBS Bina Group Berhad bersama Sinar Harian bagi menyantuni ‘unsung hero’ sempena Hari Kebangsaan.

"Program seperti ini perlu diteruskan untuk menjejaki wira negara. Terkadang kita terlupa jasa dan sisihkan mereka.

Patrick (dua dari kiri) menerima kunjungan wakil LBS diketuai Amal (dua dari kanan).

"LBS turun sebagai penghargaan kepada mereka yang telah memberi sumbangan untuk negara. Selain itu LBS turut menyalurkan bantuan bersesuaian termasuk sumbangan kewangan bagi meringankan beban,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Muzafariman berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan kesihatan dan mengesyorkan beberapa nasihat yang boleh diikuti untuk penjagaan kesihatan kepada bekas tentera itu.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati wira negara itu menghadapi masalah penyakit tekanan darah tinggi, kolestrol, sakit jantung dan kulit alergik yang ketika ini masih menjalani pemeriksaan berkala di klinik dan hospital berdekatan.

Bagaimanapun katanya, tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik susulan merupakan seorang yang peka dan mengambil berat terhadap kesihatan diri.

"Panduan yang saya berikan adalah amalkan pemakanan sihat dan senaman ringan serta teruskan mengambil ubatubatan dan menjalani pemeriksaan berkala.

"Bagaimanapun, ada beberapa keadaan beliau perlu mendapat sokongan seperti fisioterapi bagi menguatkan bahagian tangan kiri yang sedikit lemah kesan tembakan yang dialaminya dulu,” katanya.