Fitnah Dr Hafidzah, Amanah akan ambil tindakan undang-undang

Iklan
Dr Hafidzah

KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang secara terang-terangan menyerang atau menimbulkan fitnah terhadap mana-mana calon Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Amaran itu diberikan susulan tuduhan dilemparkan terhadap kemenangan Dr Hafidzah Mustakim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama yang dimuat naik seorang individu di laman sosial Facebook, pada Isnin.

Iklan
Iklan

Pengarah Operasi (Biro Kanun) PRN Amanah Kelantan, Hisham Fauzi berkata, pihaknya menerima tangkap layar berkaitan status tersebut yang berbaur tuduhan dan dakwaan terhadap Dr Hafidzah selepas menang dalam pilihan raya negeri (PRN).

"Dr Hafidzah diisytiharkan sebagai pemenang dan kami sangat berasa kesal atas tuduhan yang dibuat.

Iklan

"Kami akan mengambil tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang sebagai pengajaran kepada pihak berkenaan agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan atau membuat fitnah kepada pihak lain yang bertentangan dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Hisham yang juga seorang peguam turut mendesak agar pihak berkuasa terutama polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak membendung tindakan provokatif seumpama itu.

Iklan

"Tidak boleh benarkan sama sekali, mana-mana pihak menimbulkan isu perkauman dan agama secara terbuka termasuk di platform media sosial seperti Facebook, Twitter atau TikTok.

"Saya menggesa agar tindakan segera diambil bagi mengelakkan keadaan huru-hara, ketidakstabilan politik dan ketidakstabilan ekonomi dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang tidak berpuas hati sepatutnya memfailkan petisyen pilihan raya dan bukannya membuat fitnah terhadap calon yang diisytiharkan sebagai pemenang dalam PRN.

"Mereka ini seolah-olah enggan mengiktiraf satu proses pilihan raya yang sudah berjalan secara demokratik dan sewajarnya oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya,” ujarnya.

Pada PRN Sabtu lepas, Dr Hafidzah menang di DUN Kota Lama dengan undian sebanyak 9,695, mengatasi calon Pas, Datuk Zamri Ismail (9,489), calon Parti Rakyat Malaysia, Tan Boon Kian (126) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (85).

Sementara itu, semakan yang dibuat Sinar Harian pada petang Isnin mendapati, status yang dimuat naik telah dipadamkan oleh pemilik akaun Facebook berkenaan.