SYDNEY - Seorang lelaki ditahan selepas didakwa mengancam kru dan penumpang pesawat MAS hingga memaksa ia berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur pada Isnin.
MH122 yang berlepas pada jam 1.06 tengah hari (waktu tempatan) terlibat insiden kecemasan itu ketika berada di ruang udara New South Wales (NSW) dan mendarat semula pada jam 3.47 petang.
Pesawat itu diparkir jauh dari terminal dan pesawat lain ketika polis persekutuan bertindak balas terhadap kejadian menggemparkan tersebut.
Kesemua 194 penumpang bersama lima kru terpaksa menunggu di dalam pesawat selama tiga jam sebelum penahanan suspek berusia 45 tahun itu yang dilakukan tanpa berlaku sebarang insiden pergelutan.
"Individu itu akan didakwa pada malam ini. Tiada ancaman serius kepada komuniti," kata jurucakap Polis Persekutuan Australia.
Sementara itu, jurucakap lapangan terbang itu mengesahkan 'gangguan' lelaki tersebut menyebabkan pembatalan 32 penerbangan domestik dan jadual ditunda selama 90 minit.
Rakaman video yang memaparkan insiden di dalam Airbus A330 itu menunjukkan suspek memarahi kru dan cuba ditenangkan beberapa pembantu penerbangan.
MAS dalam satu kenyataan memaklumkan komander penerbangan itu membuat keputusan untuk berpatah balik ke Sydney demi kepentingan keselamatan kesemua penumpang. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN:Pesawat MH122 terpaksa berpatah balik akibat 'gangguan' penumpang