SHAH ALAM - Kehadiran ‘Oyen’, seekor kucing berwarna oren yang ‘bersahabat baik’ dengan tikus gergasi capybara telah menaikkan nama Zoo Negara sehingga ke pentas antarabangsa.
Malah aksi Oyen yang sering bersama-sama dengan capybara itu telah melonjakkan kedatangan pengunjung ke Zoo Negara hingga melebihi 3,000 orang pada hujung minggu.
Naib Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, Oyen yang kini menjadi 'Star of Zoo Negara' mempunyai populariti luar biasa susulan keunikan persahabatannya dengan capybara sejak tiga tahun lalu.
Malah pihak Zoo Negara turut membuat papan tanda rasmi Oyen di hadapan kepungan tikus gergasi di zoo berkenaan sempena Hari Kucing Sedunia yang disambut pada 8 Ogos setiap tahun.
Bagaimanapun hari ini seorang pengunjung meluahkan rasa ‘kecewa’ kerana tingkah laku Oyen tidak lagi seperti sebelum ini yang lebih mesra.
"Dari Ipoh acik datang semata-mata nak jumpa Oyen tapi buat 'derk’ acik panggil. Tiga kali acik singgah di tempat Oyen.
"Masa pergi awal tahun lepas, elok sahaja Oyen sambut kedatangan acik. Mentang-mentang sudah popular satu dunia, sekarang ini bukan main kekwat (berlagak). Pak belang (harimau) pun tak kekwat macam Oyen. Siap swafoto lagi dengan acik tau. Sampai hati Oyen buat acik macam ini,” luahnya di grup Facebook, Kucing Sepahkan Apa Hari Ini pada Isnin.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna berkata, situasi berkenaan adalah perkara biasa berlaku terhadap ‘bintang popular’.
"Biasa macam itu, masa belum popular, siap suruh ambil gambar. Bila sudah popular, acah-acah terpaling sibuk,” tulisnya.
Ada juga yang menulis, Oyen kini diibaratkan seperti kacang lupakan kulit.
Malah ada juga yang bergurau senda memaklumkan, acik bukan siapa-siapa untuk Oyen dekati.
Apa pun, keletah Oyen terhadap pengguna itu menjadi hiburan buat pengguna dalam grup berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN:Oyen berkawan baik dengan Capybara sudah ada papan tanda
Gandingan Oyen, capybara lonjak bilangan pengunjung Zoo Negara