RAMADAN bulan yang membawa rezeki. Hadirnya dinantikan ramai muslimin dan muslimat, tidak kira tua mahupun muda.
Malah, bulan istimewa itu juga menjadi bulan yang ditunggu-tunggu oleh peniaga di seluruh negara.
Kehadirannya memberi peluang kepada golongan berkenaan melipatkan kali gandakan hasil jualan masing-masing berbanding bulan lain walaupun terpaksa bekerja lebih masa hingga larut malam.
Segelintir mereka berpendapat Ramadan ialah bulan untuk mencari kekayaan.
Sejak sebelum Ramadan lagi golongan itu sudah mula berkira-kira untuk menjual apa, berniaga di mana dan berapa banyak kuantiti barang yang perlu disediakan untuk dijadikan sebagai tukaran wang.
Malah berita mereka mula berniaga juga sudah kedengaran melalui media massa sekurang-kurang tiga bulan lebih awal sebelum hadirnya Ramadan.
Mereka dilihat begitu agresif mencari lokasi berniaga sehingga ada yang sanggup bertegang urat demi mendapatkan tapak bazar untuk berniaga pada bulan penuh rahmat itu.
Di ibu kota misalnya, Sinar Harian melaporkan, proses pengundian tapak bazar kecoh apabila sekumpulan peniaga membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menukar tapak bazar dari Jalan TAR ke Jalan Raja.
Mereka bimbang tidak dapat berniaga kerana tapak di Jalan TAR boleh memuatkan 400 peniaga sedangkan di Jalan Raja hanya 220 lot.Sementara itu di Sungai Petani, Kedah pula kecoh apabila ramai peniaga dilaporkan tidak berpuas hati gara-gara tapak bazar Ramadan yang ditawarkan meningkat naik harganya selepas pengurusannya diserahkan kepada pihak ketiga.
Perkara itu dilaporkan berlaku di lebih 20 lokasi sekitar Kuala Muda.
Biarpun trend sama berlaku setiap tahun, namun golongan berkenaan tetap berusaha mendapatkan tapak bazar biarpun terpaksa melalui pelbagai kerenah birokrasi. Konsisten
Masing-masing tetap berusaha memastikan ruang berniaga di tapak-tapak bazar yang disediakan di seluruh negara konsisten menempatkan barang niaga masing-masing.
Kenapa situasi ini berlaku? Semuanya disebabkan kekayaan yang mampu diperoleh sepanjang Ramadan.
Bak kata pepatah golongan berkenaan, berniaga sebulan untung setahun!
Perkara tersebut telah dibuktikan menerusi laporan khas Sinar Harian sebelum ini.
Rata-rata golongan berkenaan mampu meraih keuntungan lebih RM100,000 apabila berniaga pada bulan Ramadan.
Lebih-lebih lagi apabila barang diniagakan itu melibatkan kelengkapan hari raya seperti pakaian.
Seorang peniaga, Ida Royana Ariffin, 38, berkata, dia yang menjual cadar sejak enam tahun lalu di Jalan TAR, Kuala Lumpur berjaya memperoleh untung sekali ganda daripada modal yang dikeluarkan.
"Saya sediakan stok cadar bernilai RM100,000 untuk berniaga di bazar Ramadan. Alhamdulillah untung diperoleh sekali ganda dari jumlah stok saya sediakan,” katanya.
Senario menjadikan Ramadan sebagai bulan mencari kekayaan sebenarnya bukan baru berlaku.
Ia sudah diterjemahkan lebih satu millenneum lalu sejak zaman para salafus solihin lagi.
Mereka sentiasa menunggu kehadiran Ramadan dengan berkobar-kobar.
Seawal dua hingga tiga bulan sebelum Ramadan lagi mereka sudah melakukan pelbagai persediaan rapi merangkumi fizikal dan mental.
Bezanya mereka tidak berniaga sebaliknya golongan itu menjadikan Ramadan sebagai bulan melipat-gandakan pahala dengan beramal soleh tanpa henti siang dan malam.
Para salafus solihin itu sanggup korbankan masa dan tenaga waima bersengkang mata pada malam hari untuk mencari kekayaan sebenar sebagai bekalan untuk dibawa ke alam akhirat nanti.
Bagaimanapun, ada juga segelintir golongan peniaga yang menghentikan aktiviti mereka sepanjang Ramadan kerana mahu memberi tumpuan kepada ibadah salafus solihin.
* Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Editor Sinar Harian Edisi Selatan