Bergelar bilal di usia 26 tahun

Iklan
Mohamad Hamdani (kanan) menyemak bacaan al-Quran dalam kelas yang diadakan di Masjid Muhammadiah.

IPOH - Didikan ilmu agama perlu diterapkan kepada golongan muda sejak dari awal usia agar ia diterima mampu membentuk sikap serta keperibadian belia itu sendiri.

Penerapan ilmu agama itu dilihat sebagai aspek paling penting dalam usaha membentuk golongan belia Islam yang dinamik serta berdaya saing agar seiring dengan pelbagai cabaran di era globalisasi hari ini.

Iklan
Iklan

Tidak salah jika dikatakan hanya dengan cara sedemikian mampu untuk membendung segala perilaku negatif yang seringkali dikaitkan dengan golongan belia sejak dahulu sehingga ke hari ini.

Demikian pendapat guru al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang juga bilal Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Taman Tasek Jaya, Mohamad Hamdani Ahmad Puzi, 26 berhubung isu golongan belia khususnya melibatkan belia Islam di negara ini.

Iklan

Menurut Mohamad Hamdani, didikan ilmu agama sememangnya perlu menjadi teras utama dalam soal pendidikan sejak dari awal usia agar ia mampu membentuk sikap serta keperibadian belia itu sendiri.

"Golongan belia khususnya orang Islam sekurang-kurangnya perlu memiliki asas dalam ilmu agama kerana ia adalah elemen terpenting bagi mengharungi cabaran dunia hari ini.

Iklan

"Bagaimanapun golongan belia hari ini dilihat agak kurang mendalami ilmu agama ini, sebaliknya lebih cenderung terlibat dengan keseronokan dunia.

"Di sinilah ibu bapa, keluarga, masyarakat dan guru-guru berperanan untuk mengajarkan ilmu agama ini kepada golongan belia ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Hamdani merafak sembah sempena perasmian Masjid Muhammadiah yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pernah rakam album berzanji

Tambah Mohamad Hamdani, golongan belia hari ini dilihat kurang berminat dalam bidang keagamaan, sebaliknya lebih berminat dalam bidang lain seperti hiburan dan sebagainya.

Katanya, golongan belia dilihat lebih tertarik menceburi bidang berkenaan berikutan pendapatan yang lumayan yang diperoleh.

"Golongan belia hari ini lebih berminat pada hiburan disebabkan pendapatannya yang agak lumayan.

"Bagaimanapun bagi saya dengan melibatkan didikan agama, kita akan menjadi lebih dekat untuk mendalaminya.

"Paling mengujakan adalah didikan agama kita sebenarnya bukan sahaja akan dapat kelebihan di dunia tetapi juga kelebihan di akhirat kelak,” katanya.

Mengimbas penglibatannya dalam bidang didikan agama ini, Mohamad Hamdani berkata, segala-galanya bermula apabila dia banyak menyertai Tilawah al-Quran sejak di sekolah rendah lagi sehingga ke peringkat daerah.

Katanya, penyertaannya dalam program tilawah al-Quran itu secara tidak langsung telah memperlihatkan kelebihan yang dimilikinya terutama suara untuk diketengahkan.

"Ayah saya yang seorang pendakwah bebas, ustaz Ahmad Puzi. Beliau nampak 'kelebihan suara' yang ada pada saya.

"Ayah ajar saya. Saya pernah sertai kumpulan berzanji di Kampung Pasir Putih pada 2005 dan ada merakamkan album berzanji dengan nama kumpulan Ahmadani.

"Lagipun datuk sebelah ibu saya adalah penyanyi radio sekitar 1940-an dan 1950-an lalu. Namanya Haji Abdul Aziz yang juga pendakwah dan pernah bertugas dengan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat),” katanya.

Mohamad Hamdani (berdiri, tiga kanan) bersama barisan kepimpinan Masjid Muhammadiah sempena kunjungan pendakwah bebas, (Allahyarham), Datuk Abu Hassan Din tidak lama dahulu.

Rangkul juara tilawah al-Quran

Biarpun menerima didikan serta asuhan ayahnya, anak muda ini mengakui hampir ‘terbabas’ kerana terikut-ikut dengan gaya hidup remaja seperti gemar melepak.

Mujur ayahnya perasan perubahan dirinya dan membawanya kembali dengan menyertai Tilawah al-Quran peringkat mukim Pengkalan pada 2011 dan 2012 lalu.

"Alhamdulillah, saya muncul juara bagi dua tahun berturut-turut.

"Sejak itu saya mula serius dan istiqamah dengan didikan agama yang saya peroleh.

"Alhamdulillah kini saya bertugas sebagai guru al-Quran di MAIPk selain menjadi bilal dan imam pelapis di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim).

"Saya juga sering dijemput sebagai imam jemputan di masjid-masjid sekitar Perak. Kebanyakan jemputan saya kebiasaannya dari masjid-masjid di Gerik,” katanya.

Ketika ditanya kenangan manis yang sukar dilupakannya, keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi menyempurnakan perasmian Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Taman Tasek Jaya antara momen manis buatnya.

"Sempena perasmian berkenaan, saya ditugaskan untuk melaungkan azan Zohor serta azan bagi menandakan masuk waktu solat Jumaat," ceritanya yang pernah gagal mengalunkan azan mengikut lagu atau nada suara sendiri suatu masa dulu.

Mohamad Hamdani berkata, golongan belia khususnya belia Islam di kawasan sekitar perlu sentiasa dekat dengan masjid dalam usaha membentuk generasi yang akan terus mengimarahkan institusi masjid itu pada masa hadapan.

PROFIL Nama: Mohamad Hamdani Ahmad Puzi Umur: 26 tahun Tarikh lahir: 21 November 1993 Asal: Pasir Putih, Ipoh Bilangan adik beradik: Anak ketiga daripada enam beradik Sekolah: Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Pasir Putih Latar akademik: Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Status: Berkahwin (seorang anak perempuan, berusia tiga tahun) Profesion: Guru al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), bilal, imam pelapis di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim), imam jemputan Hobi: Bermain badminton Cita-cita: Juruterbang

Mohamad Hamdani bersama isteri dan anak tercinta.