Dera anak nak sindir siapa?

Iklan
Gambar hiasan 123RF

‘PUKUL anak sindir menantu, apa dipukul anaklah itu, apa dosanya. Dah tentu dia anaklah kita, marah lah saja pada menantu kalau ada yang tidak kena’.

Pasti ramai yang masih mengingati lirik lagu Syair Cak Pong nyanyian ND Lala yang popular sekitar tahun 1990-an dahulu.

Iklan
Iklan

Peribahasa pukul anak sindir menantu ini maksud sebenarnya adalah memarahi seseorang tetapi kemarahan itu ditujukan kepada orang lain.

Dalam hal ini, matlamat yang sebenar memarahi menantu tetapi yang dipukul anak sendiri.

Iklan

Alangkah hebatnya peribahasa kerana setiap tutur kata terkandung adab dan nilai murni.

Tetapi dalam dunia masa kini, pukul anak sindir menantu itu seakan sudah menjadi lebih ‘ganas’ dengan tindakan-tindakan yang dianggap melampau.

Iklan

Mak atau ayah sudah tidak hanya memarahi anak sebaliknya bertindak berlebihan dengan disertai tindakan memukul dan mendera anak-anak.

Pada 18 Januari 2023, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika berucap sempena sesi Town Hall Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) JKM 2023 di Putrajaya mendedahkan sebanyak 5,572 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga November 2022.

Katanya, kes-kes tersebut melibatkan penderaan fizikal, seksual, emosi serta pengabaian yang dikendalikan oleh pegawai pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 14 Mac memaklumkan terdapat sebanyak 220 kes kanak-kanak mati akibat penderaan antara tahun 2018 hingga 2022.

Jelasnya, kematian kanak-kanak akibat kes dera ini melibatkan seramai 133 lelaki dan 89 perempuan.

Data yang diberikan oleh menteri ini menunjukkan kes dera kanak-kanak di negara ini bukanlah sesuatu isu yang boleh dipandang enteng kerana ia memerlukan penyelesaian yang tuntas.

Kita ambil contoh kejadian baru-baru ini apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan maut di sebuah rumah di Asam Kumbang, Taiping, Perak pada 30 Julai 2023.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur penderaan ke atas mangsa dan kanak-kanak tersebut merupakan anak kedua daripada lima beradik serta ibunya tinggal bersama teman lelaki di rumah yang sama.

Mengikut siasatan polis, wanita berkenaan dan suaminya mempunyai masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.

Sebenarnya apakah punca berlakunya kejadian dera ini sehingga boleh menyebabkan kematian?

Adakah kerana pelakunya tidak dapat mengawal perasaan marah? Atau adakah disebabkan tekanan hidup sehingga mereka sanggup melakukan perkara keji itu?

Kalau dahulu pukul anak sindir menantu dijadikan peribahasa, namun kini ia menimbulkan persoalan kerana dera anak nak sindir siapa?

Urus marah

Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semula jadi dalam diri setiap manusia. Ia juga satu ekspresi yang muncul kadangkala secara spontan tatkala kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah.

Namun perasaan marah ini tidak boleh dituruti tatkala ia mampu mendatangkan kesan negatif dalam kehidupan seharian kita.

Kemarahan menjadi satu masalah utama apabila anda meluahkannya secara berbahaya sama ada kepada diri sendiri atau individu lain dan kerana itu pentingnya ada pengurusan kemarahan.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengawal kemarahan seperti bagi umat Islam, kita boleh mengambil wuduk dan menunaikan solat.

Cara lain yang boleh dilakukan ialah dengan bertenang dan berfikir secara waras. Tindakan lain pula adalah dengan berdiam diri untuk satu tempoh masa. Keadaan ini penting untuk kita kembali tenang.

Paling akhir yang perlu dilakukan sekiranya pelbagai cara sudah dibuat namun kita masih kekal marah adalah mendapatkan bantuan daripada pihak profesional.

Jangan lah kita membiarkan kemarahan menguasai diri sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kejadian yang tidak kita ingini.

Kawal kemarahan daripada menguasai diri kita. Jangan malu untuk meminta bantuan.

* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah penyunting Sinar Harian