KUALA LUMPUR - DAP tidak bercadang untuk bergabung dengan parti politik lain, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.
Sebaliknya, Anthony menyifatkan cadangan veteran parti itu, Tan Sri Lim Kit Siang agar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bergabung dengan DAP sebagai bersifat peribadi.
Menurutnya, tumpuan kini diberikan untuk mengukuhkan pelapis muda dalam DAP sendiri bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti, kami mengarahkan Pemuda Sosialis DAP memperkukuh dari segi pengambilan bagi memupuk pemimpin muda kita sendiri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Jadi, tidak timbul soal bergabung dengan parti lain,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat CEC parti pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Kit Siang kagum dengan idealisme dibawa oleh Muda serta menasihatkan parti tersebut tidak berputus asa.
Menurutnya, parti tersebut mungkin boleh bergabung dengan DAP tetapi beliau tidak mampu untuk melakukan sebarang tawaran rasmi kerana sudah bersara.
Dalam masa sama, Anthony turut menyatakan rasa bangga dengan kemenangan calon DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek, Selangor diwakili Lwi Kian Keong kerana 60 peratus pengundi di situ adalah Melayu.
Ujarnya, walaupun ia merupakan daerah majoriti Melayu, namun keputusan PRN menunjukkan rakyat Malaysia lebih bersedia untuk mengundi calon bukan Melayu atau bukan Islam.
"Kerusi yang paling saya banggakan ialah di Sungai Pelek kerana komposisi di sana adalah 60-40 dengan 60 orang Melayu dan 40 bukan Melayu.
"Jadi, apabila kita meletakkan calon Cina dari akar umbi dan berjaya menewaskan calon Perikatan Nasional dari Bersatu, ia merupakan kemenangan yang sangat ketara," katanya.
Tambah beliau, ia sekali gus menunjukkan pengundi Selangor termasuk Melayu boleh menerima calon Pakatan Harapan dan menganggap keadaan itu sangat signifikan.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!