[VIDEO] Muhyiddin bebas 4 kes salah guna kuasa libat suapan RM232.5 juta

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Susulan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan serta-merta.

Iklan
Iklan

Ia selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa, keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan yang dilakukan.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, empat pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh ini yang menyatakan suapan bagi sekutunya Bersatu, tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan
Muhyiddin - Foto fail

"Mahkamah mendapati pemohon dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang, jadi empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

"Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan bawah seksyen itu adalah salah laksana keadilan,” katanya.

Iklan

Selain itu beliau berkata, pertuduhan berkenaan juga tidak mengandungi fakta cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

"Muhyiddin tidak seharusnya dibiarkan untuk membuat spekulasi, menyatakan cara beliau telah menyalahgunakan kedudukan ketika menjadi Perdana Menteri.

"Ini mengakibatkan pemohon tidak berupaya memberi arahan wajar kepada peguam untuk menyediakan pembelaan atau menghantar representasi bagi pertimbangan responden sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Susulan itu beliau berkata, hak asasi pemohon untuk perbicaraan adil bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli.

Hakim itu turut memetik kes pendakwa raya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi pertuduhan bawah seksyen sama iaitu Seksyen 23 (1) Akta SPRM, namun ia mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan iaitu terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia berhubung suatu perkara.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam kes yang dihadapi Muhyiddin, empat pertuduhan bagi kesalahan sama mengikut seksyen sama tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sama ada membuat keputusan atau mengambil tindakan.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan empat pertuduhan berkenaan, jadi pemohon dilepas dan dibebaskan," katanya.

Sejurus keputusan disampaikan, Muhyiddin yang duduk di kandang tertuduh bangun dalam keadaan tenang dengan penyokong-penyokongnya yang berada di galeri awam, melaungkan takbir.

Turut hadir dalam prosiding berkenaan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib dan Poh Yih Tinn manakala Muhyiddin diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk K Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad.

Pada 18 April lalu, Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Beliau turut memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya selain berhasrat agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah berikutan tiada mana-mana satu pun mendedahkan kesalahan bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes terbabit, dia menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 13 Mac pula, pemimpin politik tersebut didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin didakwa kes rasuah RM232.5 juta, ubah wang haram RM195 juta

Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ke-7, terima wang haram RM5 juta

Muhyiddin PM kedua selepas Najib diheret ke mahkamah

Pendakwaan mohon semua kes Muhyiddin dibicara bersama

4 kes salah guna kuasa terhadap Muhyiddin wajar diketepikan - Peguam

Muhyiddin dibenar guna ikat jamin RM2 juta di Mahkamah KL

[VIDEO] Muhyiddin bebas 4 kes salah guna kuasa libat suapan RM232.5 juta

'Sejak awal lagi pertuduhan bermotifkan politik' - Muhyiddin

AGC akan failkan rayuan berhubung pembebasan Muhyiddin petang ini