JURULATIH Inter Miami, Gerardo Tata Martino menafikan Lionel Messi mengalami kecederaan ketika kelab itu bersedia untuk pertembungan separuh akhir Piala Liga bertemu Philadelphia.
Messi dilihat seperti mengalami kecederaan buku lali kanannya semasa sesi latihan di Fort Lauderdale pada Isnin, namun Martino menegaskan tidak ada sebab untuk bimbang mengenai kecergasan Messi.
"Saya tidak melihat dengan tepat apa yang berlaku tetapi saya membayangkan bahawa jika ia adalah sesuatu yang serius, pemain semua akan terkejut.
"Tetapi, kesemua pemain tidak gelisah dan saya rasa tiada apa-apa yang berlaku,” kata Martino.
Kurang daripada sebulan dalam kariernya bersama Miami, Messi bakal menjadi tonggak penting membantu kelab itu ke final pertama mereka jika dapat meraih kemenangan ke atas Philadelphia pada Rabu.
Messi telah menjaringkan lapan gol dalam lima penampilan untuk Miami sejak membuat penampilan sulung untuk kelab itu pada 21 Julai.
Miami akan menghadapi pasukan Philadelphia Union yang merupakan salah satu pasukan terkuat dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat.
"Mereka mempunyai cara mereka, idea mereka, dan mereka adalah finalis dalam liga tahun lepas.
"Kami faham bahawa pasukan tempatan akan menjadikan mereka lebih kuat, tetapi kami juga mempunyai aspirasi untuk mara ke final,” katanya.