SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Sinar Harian mengumumkan 23 pemenang peraduan bertemakan aplikasi myPTPTN iaitu Genius IQ PTPTN, di sini, pada Isnin.
Pengumuman bagi peraduan berlangsung bermula 9 Julai hingga 10 Ogos lalu itu berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf turut disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian.
Dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM15,000, hadiah kepada pemenang diberikan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan kepingan emas 999.9 serta barangan eksklusif PTPTN.
Acara ini disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengurus Besar, Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin.
Ahmad Dasuki ketika ditemui Sinar Harian berkata, peraduan tersebut merupakan kerjasama kali ketiga dengan Sinar Harian dan peraduan bertemakan aplikasi myPTPTN itu dilaksanakan menerusi dua platform iaitu akhbar dan digital.
Impak positif
Menurutnya, peraduan Genius IQ PTPTN bermula pada 9 Julai 2023 hingga 10 Ogos 2023 lalu memberikan impak positif kepada PTPTN dan pada masa sama dapat untuk mempromosikan dan menyebarluaskan lagi aplikasi myPTPTN kepada pelanggan dan masyarakat Malaysia.
"Aplikasi myPTPTN ini membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana-mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
"Melihat kepada sambutan yang diterima sangat menggalakkan, saya percaya bahawa Peraduan Genius IQ PTPTN ini telah mendapat respon yang baik daripada semua pihak khususnya pembaca Sinar Harian dan pelanggan PTPTN. Malah, jika dilihat kepada jumlah penyertaan peraduan ini melalui kedua-kedua platform sememangnya tinggi iaitu hampir 7,000 penyertaan dan ini amat memberangsangkan dan memberi impak positif kepada PTPTN.
"Peraduan ini juga dianjurkan bersempena sambutan bulan kemerdekaan yang disambut pada bulan Ogos setiap tahun. Menjelang Hari Kebangsaan yang ke-66 pada 31 Ogos ini dengan tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, marilah kita sama-sama menyemai rasa cinta kepada negara dan menyemarakkan semangat kebersamaan serta bersatu padu walaupun dalam situasi negara penuh mencabar," jelas Ahmad Dasuki.
Terdahulu, Farah ketika berucap pada majlis itu berkata, Sinar Harian berbesar hati kerana dapat menjayakan peraduan berkenaan bersama pihak PTPTN.
"Pejam celik, kita sudah tiba garisan terakhir. Hari ini merupakan hari pengumuman bagi Peraduan Genius IQ PTPTN bersama Sinar Harian.
Kerjasama erat
"Sepanjang tempoh peraduan, PTPTN sangat komited dalam menjayakannya dan saya berterima kasih kerana PTPTN meneruskan kesinambungan kerjasama erat antara kedua-dua pihak sehingga kini.
"Saya kagum dengan kerjasama dan komitmen warga PTPTN. Syabas dan terima kasih saya ucapkan di atas kesinambungan kerjasama yang terus terjalin erat di antara Sinar Harian dan PTPTN bagi tahun 2023 ini,” katanya.
Beliau menambah tidak lupa juga kepada semua pembaca setia akhbar Sinar Harian yang sentiasa memberikan sokongan terhadap segala bentuk peraduan dianjurkan oleh akhbar ini sehingga kini.
"Yang tidak berjaya jangan risau, kita jumpa di peraduan lain nanti, insya-ALLAH. Teruskan sokongan anda kepada Sinar Harian, kerana sokongan daripada andalah kami dapat terus memberikan yang terbaik untuk semua," katanya.
Sementara itu, Airol Fadley turut mengakui peraduan kali ketiga Sinar Harian bersama PTPTN itu mendapat sambutan menggalakkan sekali gus membuka ruang untuk terus menjalinkan kerjasama di masa depan.
"Ukhwah kita semakin kukuh dan kita dalam perancangan untuk mengadakan kerjasama menerusi program promosi lain bersama PTPTN dengan harapan kerjasama ini menjadi lebih kukuh bagi mencapai objektif dimahukan pihak PTPTN," katanya.
Dalam pada itu, nama-nama pemenang keseluruhan bagi peraduan bertemakan aplikasi myPTPTN, Genius IQ PTPTN itu telah diumumkan secara langsung menerusi platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Tiga pemenang utama ialah Nurul Syahadah Md Zain (pertama) dari Puchong, Selangor; Mohamad Thohar Mohamad Shamsuddin (kedua) dari Gerik, Perak dan Ahmad Azlan Arbee Ahmad Jamal Arbee (ketiga) dari Petaling Jaya, Selangor.