Masa untuk wakil rakyat tunai janji - Mufti

Iklan
Wan Salim

GEORGETOWN - Calon yang menang dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15) baru-baru ini dinasihatkan supaya menunaikan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat dan tidak hanya bermain politik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, setiap wakil rakyat harus sedar bahawa matlamat sebenar yang dikehendaki di sebalik kemenangan dalam pilihan raya tidak terhenti dengan kuasa pemerintahan yang berjaya direbut.

Iklan
Iklan

Sebaliknya kata beliau, khidmat kepada rakyat yang diwakili dalam pelbagai bidang pembangunan fizikal, mental dan rohani adalah sangat penting.

"Setelah berlangsungnya PRN15 di enam buah negeri pada 12 Ogos lalu, maka berakhirlah tempoh berkempen bagi parti-parti politik yang bersaing untuk merebut tampuk pemerintahan. Rakyat telah membuat pilihan, sama ada bersetuju atau tidak, semua pihak mesti akur dan menghormati keputusan tersebut.

Iklan

"Kini bukan lagi masanya untuk berpolitik tetapi untuk meneruskan segala usaha pembangunan bagi memenuhi keperluan hidup rakyat, meratakan kebajikan serta kesejahteraan untuk semua," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, setiap calon yang menang harus memikul amanah dan tanggungjawab yang berat di hadapan ALLAH SWT dan rakyat.

Iklan

"Seluruh rakyat akan memerhati dan memantau sejauh mana mereka yang telah dipilih menepati janji-janji yang ditabur melalui manifesto parti. Seperti yang diketahui, kehidupan rakyat terutama di negeri-negeri tertentu masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan dan kemajuan.

"Justeru, usaha islah atau pembaikan perlu digerakkan dengan lebih lancar dan agresif. Semoga semua wakil rakyat yang terpilih akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan ikhlas," katanya.

Dalam pada itu, Wan Salim berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan terjalin dengan lebih erat untuk kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi serta kefahaman politik.

"Saya berharap biar lah semua pihak bekerja untuk negara dan rakyat dalam suasana yang aman tenteram tanpa sebarang gangguan. Saya percaya dengan kepimpinan yang efisyen dan bijaksana serta iltizam yang tinggi sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, Malaysia akan muncul menjadi antara negara termaju di dunia, insyaAllah.

"Kita akan bersama-sama memacu kemajuan yang didambakan dan sama-sama berbangga sebagai satu bangsa bermaruah dan berdaulat. Malah Malaysia juga akan menjadi kebanggaan umat Islam seluruhnya sebagai sebuah negara Islam yang maju dan aman sejahtera," katanya.

Sebelum ini, gabungan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang meraikan kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri yang baru apabila menang 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN15 pada Sabtu.

Jumlah itu bukan sahaja cukup untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (kerajaan negeri) malah mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang berjaya dimenangi.

Gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi iaitu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.