SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kembali sihat dan selamat pulang ke tanah air selepas menjalani prosedur perubatan di luar negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyambut kepulangan Sultan Selangor bersyukur urusan perubatan baginda berjalan dengan baik dan lancar selain baginda kelihatan ceria.
"Patik dan sekalian rakyat senantiasa mendoakan agar DYMM Tuanku berdua dilanjutkan usia dalam kesihatan yang baik, kesejahteraan dan keafiyatan.
"Semoga DYMM Tuanku kekal qarar (tenang) bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan juga,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Terdahulu, Amirudin menyambut ketibaan Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ke tanah air.
Pada 28 Julai media melaporkan Sultan Selangor berangkat ke London untuk menjalani rawatan dan pembedahan penyakit berkaitan prostat (Holmium Laser Enucleation of the Prostate) yang dihadapi.
Baginda berharap dapat kembali sembuh seperti sediakala bagi menjalankan tugas sebagai raja pemerintah dan ketua agama Islam di Selangor.