PENYANYI, komposer dan guru vokal, Mark Adam tidak menolak untuk menghasilkan single kedua buat penyanyi cilik, Angelica Petra selepas bekerjasama buat pertama kali dua tahun lalu.
Menurut Mark, Angelica yang juga anak muridnya sebelum ini meminta untuk menghasilkan single pertama berjudul Selamanya Bersama yang juga lagu runut bunyi (OST) untuk filem Daddyku Gangster.
Justeru apabila Angelica sekali lagi menyatakan hasrat untuk menghasilkan single kedua, Mark yang berasal dari Filipina itu tidak berfikir panjang.
"Ketika mengajarnya, saya melihat kelebihan Angelica menyanyikan beberapa genre lagu di dalam kelas.
"Malah, dia merupakan pelajar yang sangat rajin dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk faham tentang muzik dan lagu” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai lagu Detik, Mark menjelaskan, ia dihasilkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021, di mana itu semua orang terpaksa duduk di rumah dan dilarang untuk keluar.
Tambah Mark, antara keistimewaan lagu ini adalah pada lirik dan melodi, di mana ia akan membuatkan seorang akan mengalami perasaan rindu terhadap seseorang.
Sementara itu, Angelica juga sangat bertuah memandangkan ibunya sendiri iaitu Datuk Rosmarayu Mokhtar yang juga merupakan pemilik syarikat D’Ayu Muzik merupakan individu paling kuat menyokong pembabitannya dalam bidang seni suara.
Rosmarayu atau lebih mesra disapa dengan panggilan Ayu mengakui gembira melihat perkembangan anaknya itu yang semakin matang serta gigih mengejar impian untuk menjadi seorang penyanyi.
"Pengalaman pertamanya menerusi lagu Selamanya Bersama ketika usianya baru sembilan tahun telah benar-benar memberi kesan positif terhadap minatnya dengan dunia nyanyian.
"Kini pada usianya yang telah mencecah 11 tahun, saya percaya anak saya ini semakin matang serta semakin faham dengan dunia nyanyian,” jelasnya.
Sekadar info, lagu Detik sudah dilancarkan pada 30 Jun lalu di semua platform digital streaming bersama Muzik Video di YouTube Channel D’Ayu Music.