[VIDEO] Ahmad Samsuri angkat sumpah Menteri Besar Terengganu

Iklan

KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada Selasa.

Ahmad Samsuri, 53, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu, melafaz sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, di sini kira-kira 3.18 petang.

Iklan
Iklan

Beliau dilantik semula ke jawatan itu selepas PN menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, Sabtu lepas.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu di Istana Syarqiyyah di Chendering, pada Selasa. - Foto Bernama

Turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Terengganu itu ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Iklan

Majlis tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan barisan kerajaan PN.

Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang pada PRN Terengganu untuk dua penggal berturut-turut.

Iklan

Beliau yang juga Naib Presiden Pas mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman dengan majoriti 17,286 undi selepas memperoleh 20,927 undi, manakala Suhaimi mendapat 3,641 undi.

Buat pertama kali dalam sejarah politik baharu, DUN Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas PN berjaya menyapu bersih 32 kerusi pada PRN yang berlangsung pada Sabtu.

Perkembangan itu pastinya membuka lembaran baharu dalam politik negeri berkenaan apabila fungsi pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan tidak berlaku dalam tempoh penggal ini.

Ahmad Samsuri yang berasal dari Besut merupakan bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kemudian menyempurnakan ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal pengkhususan Pembakaran dan Tenaga di Universiti Of Leeds, United Kingdom pada 1996.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam bidang sama pengkhususan Pencucuhan dan Pembakaran Aeroenjin, Kegagalan Mesin Altitud Tinggi di universiti sama di United Kingdom pada 2001.

Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut digelar pakar aeroangkasa.

Ahmad Samsuri dikurniakan enam cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman yang merupakan seorang suri rumah.