PADANG RENGAS - Harga ayam didakwa mengalami kenaikan beberapa kali sejak dua minggu lalu apabila rata-rata peniaga menjual pada harga antara RM9.80 hingga RM10.80 sekilogram.
Tinjauan Sinar Harian di kedai-kedai sekitar Padang Rengas dan Kuala Kangsar mendapati peniaga menjual barang keperluan itu pada harga berkenaan berbanding RM9.50 yang dicatatkan minggu lalu.
Peniaga, Mohd Syawal Nizam Miskan berkata, harga ayam dijual pada harga RM9.80 disebabkan dia memperoleh dari pemborong pada harga RM8.90.
"Kami tiada pilihan kerana dalam tempoh dua minggu ini, sudah tiga kali naik dan paling tinggi naik sebanyak RM0.80 sen. Pemborong akan memaklumkan sebarang kenaikan harga pada sebelah malam sebelum kami beli.
"Harga paling rendah yang diperoleh daripada pemborong adalah sebanyak RM7.60. Itulah sekali harga turun pada pertengahan bulan lalu," katanya
Menurut Mohd Syawal, dia terpaksa menjual harga sedikit tinggi bagi mengelak kerugian selain memikirkan pelanggannya dalam kalangan penduduk kampung.
"Meskipun pelanggan merungut harga yang tidak menentu, kami tidak boleh buat apa-apa kerana mengikut harga borong. Kami akan mengurangkan pembelian daripada 60 ekor sehari kepada 40 ekor mengikut bajet yang ada.
"Mungkin pihak berkaitan dapat melihat isu kenaikan harga ini agar tidak berpanjangan," katanya.
Peniaga ayam, Chua Chong Keow, 62, berkata, kenaikan itu meresahkan hingga dia menghadkan kuantiti pembelian daripada pemborong bagi mengelakkan kerugian.
"Apabila harga mahal, pelanggan pun tidak mahu beli. Jadi saya ambil sedikit untuk jual pagi ini pada harga RM10 sekilogram.
"Pemborong pun tiada beri alasan kenapa harga naik. Jualan ayam hari ini pun perlahan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kerajaan masih menetapkan harga siling runcit semasa bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram.
"Setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan kenaikan harga ayam di negeri ini. Kita akan buat pemantauan dan siasatan bagi isu ini.
"Pengguna dinasihatkan untuk menyalurkan aduan kepada KPDN berhubung kenaikan harga ayam atau barangan lain bagi memudahkan tindakan lanjut diambil," katanya.