KUANTAN - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang menerima tiga laporan berkaitan tipu atas talian melibatkan kerugian sebanyak RM214,655.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama merupakan ahli perniagaan berusia 36 tahun dikatakan berminat membeli kereta jenis Toyota Alphard yang diiklankan di laman Facebook dengan harga RM120,000 pada 29 Julai lalu.
"Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas 15 kali transaksi dibuat ke dalam lima akaun berbeza sehingga mengakibatkan kerugian RM76,531. Sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, dalam kejadian lain, warga emas terpedaya dengan penawaran saham tidak wujud, pada 23 Julai lalu.
Menurutnya, lelaki berusia 58 tahun telah berkenalan dengan seorang individu di Laman TikTok dan ditawarkan pelaburan saham dengan pulangan yang lumayan.
"Mangsa menggunakan wang simpanannya sebanyak RM76,158 ke dalam lima akaun berbeza bagi tujuan pelaburan.
"Seterusnya, mangsa menyedari mula ditipu kerana suspek masih meminta wang tambahan, namun pulangan yang dijanjikan tidak diperolehi," katanya.
Yahaya berkata, kes yang terakhir membabitkan seorang lelaki berusia 58 tahun mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada kakitangan Pos Laju kerana barang berharga yang tidak dituntut pada Ahad.
Berdasarkan laporan, panggilan telah disambungkan kepada pegawai polis yang mendakwa mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram.
"Mangsa mula merasa takut dan mengikut arahan dengan memberikan maklumat bank miliknya.
"Mangsa menyedari ditipu setelah pihak bank memaklumkan duit mangsa berkurangan sebanyak RM61,976.
"Terdapat dua transaksi ke akaun lain dan 24 kali pembayaran melalui APX berjumlah RM499," katanya
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
"Kita ingin mengingatkan supaya orang ramai tidak menyewa atau memberikan akaun bank peribadi kepada ahli sindiket.
"Jika dapati bersuhabat dengan ahli sindiket, pemilik akaun boleh dituduh di Mahkamah Jenayah dan juga mungkin akan dihadapkan dengan tuntutan sivil," katanya.