Beri ruang Ahmad Zahid bersih nama - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad (kanan) bersalaman dengan peserta Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian di SMK Tan Sri Osman Mohd Sa'at pada Selasa.

PONTIAN - Pemimpin dan ahli UMNO perlu memberi ruang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membersihkan namanya sekali gus mengembalikan kegemilangan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, desakan agar Ahmad Zahid meletak jawatan merupakan tindakan terburu-buru.

Iklan
Iklan

Dakwanya, imej Presiden UMNO itu sengaja dirosakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan 87 pertuduhan mahkamah bertujuan untuk melemahkan parti itu.

"Bagi saya, Presiden tidak perlu meletak jawatan sebaliknya perlu diberi peluang membersihkan diri daripada baki 47 pertuduhan mahkamah. Saya yakin, sebagaimana 40 pertuduhan sudah dilepas dan dibebaskan mahkamah, keputusan sama terhadap baki 47 kes lagi.

Iklan

"Kita mengharapkan keseluruhan imej Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO akan dibersihkan menerusi mahkamah sekali gus parti akan diperkasakan semula seperti sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian, di sini pada Selasa.

Iklan

Pada 23 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi dilaporkan melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa, dilapor memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali OSC di China dan VLN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I mendakwa, pertuduhan mahkamah yang dikenakan ke atas Presiden UMNO itu berikutan keengganan beliau membubarkan parti berkenaan sekali gus menyebabkan imej Ahmad Zahid dan parti terjejas teruk.

Dakwanya, Dr Mahathir turut mengakui perkara itu dalam beberapa video sebelum ini.

"Beberapa ketika selepas Ahmad Zahid tak bersetuju dengan saranan membubarkan UMNO, beliau dikenakan segala dakwaan itu. Kalau beliau setuju tak adalah kena dakwaan-dakwaan itu.

"Jadi ini adalah pendakwaan politik untuk memburukkan imej Presiden UMNO dan parti. Rakyat yang tak tahu cerita ini terbawa-bawa persepsi negatif itu menyebabkan sokongan pengundi terutama di beberapa negeri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini merosot," katanya.