KOTA BHARU - Pas Kawasan Pengkalan Chepa menafikan pihaknya akan mengadakan perhimpunan solidariti untuk bekas Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah pada Selasa.
Ini ekoran tular beberapa poster mengajak penyokong untuk bersoladiriti kepada Mohd Amar selepas beliau tidak dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan.
Iklan
Iklan
Setiausahanya, Muhammad Abdul Munib Assyakirin Zakaria berkata, perkara tersebut bercanggah dengan pendirian parti itu.
"Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab itu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Pas Kawasan Pengkalan Chepa menerima dengan reda dan hati terbuka atas ketentuan ALLAH SWT dalam urusan pelantikan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Ujarnya, mereka mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohd Nassuruddin Daud atas pelantikan Menteri Besar dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan sebagai Timbalan Menteri Besar.
Muhammad Abdul Munib Assyakirin memberitahu, Pas Kawasan Pengkalan Chepa yakin dengan kemampuan dan kebijaksanaan kedua-dua tokoh tersebut dalam melaksanakan tanggungjawab mengurus negeri dengan adil, amanah dan bijaksana.