JAKARTA - Pencemaran udara dilaporkan bertambah buruk di wilayah Jakarta Raya, Indonesia, malah 'dibuktikan' lagi dengan laporan keadaan Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengalami batuk berterusan, yang disebabkan udara kotor.
Menerusi laporan Kompas, Jokowi menekankan keperluan campur tangan pemerintah dalam menangani isu itu.
"Jika perlu, kita mesti menggalakkan banyak pejabat untuk melaksanakan kerja hibrid yang merujuk kepada gabungan kerja dari pejabat dan bekerja dari rumah," kata Jokowi kepada Antara.
Dalam masa sama, Jokowi dilaporkan mengarahkan kementerian berkaitan dan agensi kerajaan bukan kementerian untuk campur tangan dalam meningkatkan kualiti udara di Jakarta Raya meliputi kawasan metropolitan termasuk Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi.
Media tempatan Indonesia melaporkan Jakarta mencatatkan kualiti udara kedua terburuk di dunia di laman web pemantauan kualiti udara IQAir, meningkat daripada kedudukan keempat sehari sebelumnya.
Sejak Jun, Jakarta telah disenaraikan sebagai salah satu bandar paling tercemar di dunia, menurut pegawai kanan persekitaran dan perhutanan kepada media tempatan minggu lalu.
Tambah Jokowi, beliau juga mengarahkan supaya menambah bilangan kawasan lapang hijau di kawasan Jakarta Raya termasuk bajet penyediaan ruang tersebut segera disediakan.
Dalam jangka sederhana, pemerintah akan melaksanakan dasar untuk mengurangkan penggunaan kenderaan berasaskan bahan api fosil dan menggalakkan pertukaran kepada pengangkutan massa.
Tegas Jokowi lagi, untuk pelan jangka panjang, tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim harus diperkukuh.
"Penyeliaan mesti dilakukan dalam sektor perindustrian dan penjanaan tenaga terutama lokasi tumpuan sekitar Jakarta. Kita juga mesti mendidik orang ramai (untuk mengurangkan pelepasan)," kata Jokowi.
Selepas mesyuarat pada Isnin, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Siti Nurbaya memaklumkan pemerintah juga sedang mengusahakan cukai pencemaran alam sekitar bagi mengurangkan pencemaran udara Jakarta yang semakin kritikal. - Agensi