IPOH - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak berharap semua pihak dapat fokus untuk membangunkan negara selepas proses pilihan raya negeri (PRN) berakhir, Sabtu lalu.
Naib Ketuanya, Munzirie Kabir berkata, sudah tiba masanya negara memperkasakan Dasar Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan lalu dengan mengetepikan latar dan fahaman ideologi politik.
"Kita mengambil maklum mengenai tindakan pemimpin pembangkang yang tidak patriotik mahu menjatuhkan kerajaan yang kononnya berselindung di sebalik 'referendum rakyat'.
"Sudahlah tiada keabsahan majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan, nafsu serakah, rakus tidak bertempat untuk berkuasa demi menyelamatkan kepentingan mereka bukannya rakyat biasa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pihaknya akan terus menyokong aspirasi Anwar dalam membina negara Malaysia Madani untuk bergerak kehadapan.
"Dasar-dasar yang telah diperkenalkan perlu diberi penekanan yang serius terutamanya golongan anak muda supaya dapat diresapi kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
"Semoga Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani ini kukuh dan utuh di bawah kepimpinan Anwar," katanya.