SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) masih gagal memenangi kerusi pilihan raya negeri (PRN) untuk keseluruhan enam negeri meskipun dalam keadaan adanya gelombang hijau, ‘Gelombang Sanusi’ (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dan sentimen lain yang melemahkan peluang Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) menang.
Ketua Pegawai Eksekutif Patriots Asia, Jamalee Bashah berkata, ia menunjukkan bahawa walaupun ada dakwaan pihak-pihak yang menggambarkan imej gabungan PH-BN dalam PRN itu teruk, namun PN belum berjaya menggunakan peluang yang ada itu bagi merampas negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
Ujar beliau, perkara itu mencetuskan persoalan apa lagi perancangan PN seterusnya untuk mengatasi cabaran tersebut.
"Saya juga nak ambil pendekatan untuk PN fikirkan walaupun dikatakan sapu bersih di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Menang di Selangor dan sebagainya tetapi kalau kita tengok Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum itu, tidak banyak pun kerusi tambah sebenarnya.
"Jadi dalam keadaan seperti PH-BN berada dalam keadaan yang sangat teruk, masalah harga barang, gelombang hijau, ‘Gelombang Sanusi’ dan sebagainya, masih tidak dapat memenangi negeri-negeri lain. Teruk begitu pun, PN tidak boleh menang, jadi apa rancangan seterusnya ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 408 bertajuk ‘Pasca PRN: Rakyat Sudah Bersuara’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panel ialah veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar; Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Setiausaha Kerja Penerangan PKR, Iswardy Morni manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Sementara itu, mengulas mengenai perubahan dalam kepimpinan UMNO itu pula, Jamalee berpandangan bahawa parti itu bukan memerlukan elemen baharu sebaliknya mencari balik pendirian diri yang lama.
Menurutnya, melihat Pas sebagai sebagai contoh, sehingga hari ini perjuangan parti itu tidak pernah lari daripada Islam dan Melayu.
"Bila kali terakhir UMNO bercakap mengenai hak orang Melayu dan Islam? Sudah lama (tak bercakap).
"Kalau tengok parti Pas, daripada dulu sehingga sekarang, tidak pernah lari perjuangannya tentang Islam dan kali ini ditambah dengan Melayu.
"Sebenarnya, UMNO ini masalahnya adalah daripada awal lagi memang tidak ada (pegangan perjuangan) itu dari awal,” jelasnya.