SEJAK di bangku sekolah, kita didedahkan dengan aktiviti debat, malah ia dipertandingkan secara meluas di peringkat universiti.
Bukan sekadar isu sosial atau berkaitan pelajar yang menjadi topik perdebatan tetapi turut menyentuh dasar pentadbiran dalam dan luar negara, dengan konsep satu pihak pencadang selaku kerajaan dan satu lagi pembangkang.
Kebiasaannya, debat di sekolah dan universiti berbentuk pertandingan yang menawarkan wang tunai serta piala pusingan kepada juara. Maka, sudah pasti pendebat fokus dengan kupasan berilmiah tanpa ada serangan peribadi atau sindir-menyindir hal tidak berkaitan.
Kini debat secara terbuka mula menjadi perhatian apabila melibatkan tokoh politik terkenal yang membahaskan ideologi parti masing-masing. Lebih menarik, orang ramai boleh menyaksikan debat itu di mana-mana sahaja kerana ia disiarkan secara langsung di semua platform media sosial.
Debat bukan sekadar petah berkata-kata, sebaliknya isi kandungan hujah paling utama. Penonton bijak menilai siapa yang mempunyai idea bernas berbanding hebat berhujah tetapi isinya kosong.
Justeru, penganjuran debat perlu diperbanyakkan lagi tanpa mengira sesiapa termasuk pemimpin politik, tokoh masyarakat atau golongan pemikir bagi menyuburkan idea-idea baharu merangkumi ekonomi, pendidikan, sosial, sukan serta kebajikan rakyat.
Debat membolehkan perbandingan idea dibuat dan pendebat dapat mengkritik secara membina idea pihak lawan. Secara tidak langsung, ia mewujudkan proses penambahbaikan terhadap dasar-dasar kerajaan.
Seiring dunia yang semakin mencabar, negara memerlukan idea baharu terutama buah fikiran daripada anak muda. Mereka adalah kelompok yang bakal mewariskan tampuk kepimpinan negara kepada generasi akan datang.
Kita tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada corak pentadbiran lama. Bukan mengatakan idea orang lama tidak bagus tetapi pemimpin veteran mungkin sudah tepu dengan idea dan corak pemerintahan diwarisi sejak berabad lama.
Ramai anak muda sebenarnya mempunyai idea tetapi tidak dapat menterjemahkan pandangan secara meluas, sebaliknya hanya sekadar menulis di laman media sosial masing-masing.
Debat adalah pentas terbaik untuk golongan berkenaan melontarkan idea bernas mereka dengan berhujah, bukan bertujuan mengejar populariti politik semata-mata.