RIBUAN naskhah al-Quran yang kelihatan masih baharu dan belum terusik di dalam palet memenuhi sebahagian ruang simpanan pelupusan di pejabat Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) yang terletak di Shah Alam, Selangor.
Sekali imbas, tiada apa yang tidak kena dengan al-Quran itu. Namun, sebenarnya ia merupakan antara al-Quran yang sudah siap dijilid kemas, namun, disebabkan tidak memenuhi piawaian, ia terpaksa dilupuskan.
Ada yang disebabkan masalah cetakan yang tidak jelas, ada sesetengah tulisannya hilang dan beberapa muka surat yang didapati kotor. Jadi, ia terpaksa ditolak.
Benar, al-Quran memang tidak boleh dibuat main-main. Sebagai umat Islam, kita perlu memelihara kitab suci yang menjadi panduan hidup manusia dengan sebaiknya. Sebenarnya, bagi melupuskan al-Quran, Karangkraf mempunyai teknologi khas untuk tujuan itu.
Kepada Sinar Islam, Eksekutif Unit Pelupusan Ultimate Print Sdn Bhd (Ultimate Print), Muhamad Azmi Abdul Rahman berkata, Unit Pelupusan Ultimate Print mempunyai mesin insinerator yang digunakan syarikat itu sejak Oktober 2017.
Pembakaran
"Sebelum ini, kami menggunakan dram yang telah diubahsuai. Dalam sehari, sekitar 200 kilogram (kg) al-Quran termasuk helaiannya berjaya dibakar.
"Namun, dengan adanya insinerator, kerja-kerja kami bertambah mudah. Lebih banyak lagi pembakaran boleh dilakukan iaitu sekitar 300kg hingga 350kg sehari setiap hari," jelasnya ketika ditemui selepas proses pembakaran al-Quran dilakukan di tapak pembakaran di Karangkraf, Shah Alam, Selangor, Khamis minggu lalu.
Menjelaskan bagaimana mesin itu berfungsi, Muhamad Azmi berkata, insinerator itu menggunakan gas untuk membakar semua al-Quran.
"Sesekali, pekerja kontrak yang ditugaskan menguruskan proses pembakaran itu akan mengacau abu di dalam insinerator itu supaya pembakarannya sekata. Pada masa sama, petugas itu turut memasukkan helaian atau al-Quran yang baharu," katanya.
Muhammad Azmi berkata, proses tersebut memakan masa selama lapan jam. Abu yang terhasil akan dibiarkan sejuk semalaman.
"Keesokan paginya, abu yang masih bersisa bara akan diangkat dan dimasukkan ke dalam tong dan disimbah air supaya ia benar-benar sejuk.
"Ia kemudian dibiarkan selama dua atau tiga hari untuk dikeringkan. Kemudian, abu itu akan dimasukkan ke dalam guni. Kita kumpulkan dulu dan sampai masa, abu itu akan dibuang di dalam laut," katanya sambil menegaskan, semua proses pelupusan yang dilaksanakan pihak Karangkraf mengikut syariat Islam dan merujuk kepada beberapa agamawan.
Selain al-Quran dan helaiannya, Karangkraf turut menguruskan pelupusan plat cetak al-Quran dengan menggunakan mesin khas bagi menghilangkan ayat-ayat al-Quran tersebut. Pada hari Jumaat minggu lalu, abu al-Quran hasil pembakaran daripada teknologi insinerator Karangkraf dipunggah ke atas kapal di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Klang, Selangor untuk dilepaskan di perairan Pulau Angsa berhampiran Kuala Selangor.
Kali ini, ia mengandungi 30 tan abu al-Quran. Penulis difahamkan, abu itu telah dikumpulkan sejak setahun lalu.
Proses pemunggahan itu diketuai Eksekutif Perhubungan Awam Komunikasi Korporat Karangkraf, Kesumawati Kamarudin bermula pada pukul 9 pagi hingga 5.30 petang.
Lakar sejarah
Pada hari Sabtu minggu lalu, kira-kira pukul 9.15 pagi, 30 tan abu diangkut dengan kapal angkut PT2 milik polis marin, KPD Setia dengan jarak perjalanan sekitar 10 batu nautika.
Sebaik tiba di perairan Pulau Angsa 45 minit kemudian, semua abu al-Quran dilepaskan ke perairan pulau berkenaan dalam tempoh satu jam 30 minit.
Untuk operasi kali ini, Karangkraf disertai 43 kakitangan bekerjasama dengan dua pegawai dan 16 anggota pasukan polis marin daripada Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Ultimate Print, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
Pelupusan al-Quran kali ini melakar sejarah kepada Karangkraf kerana melibatkan jumlah terbesar berbanding lima tan pada tahun sebelumnya.