Vera sukar percaya TRW dibelasah TFC

Iklan
Pemain Terengganu FC, Ivan Mamut (kiri) dihalang pemain Kelantan FC Khairul Helmi Johari dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. - Foto Bernama

PENGENDALI Kelantan FC, Alfredi Vera mengakui sukar untuk percaya The Red Warriors (TRW) dibelasah Terengganu FC (TFC), 0-8 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin.

Menurutnya, pemain TRW telah beraksi dengan baik, namun gagal menyaingi rentak TFC yang mempunyai kualiti lebih tinggi.

Iklan
Iklan

"Kita sudah beraksi dengan baik tapi tidak boleh menyaingi (Terengganu). Selepas kena beberapa gol, mental pemain juga mulai terjejas,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang TFC, Ivan Mamut meledak hatrik dan masing-masing satu gol menerusi Nurillo Tukhtasinov, Nik Sharif Haseefy, Engku Nur Shakir, Safwan Mazlan serta Hakimi Abdullah.

Iklan

Dalam pada itu, Vera turut mengakui TRW bakal berdepan masalah besar dengan ketiadaan import baharu apabila dijadualkan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia pada Sabtu ini.

"Kita harus fokus dan guna pemain muda yang ada untuk lawan seterusnya iaitu pasukan yang kuat, Johor Darul Ta'zim,” katanya.

Iklan

Sebelum ini, Kelantan FC dilaporkan menandatangani empat import baharu, Aliakbar Ahmadi, Allie Sisse, Ahmed Magdy dan Dennis Buschening, namun pendaftaran pemain berkenaan ditolak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui gembira dengan kemenangan besar tersebut, sekali gus meningkatkan moral skuad Penyu berkenaan.

"Perlawanan itu tidak begitu sukar, namun tidak mudah juga untuk buat jaringan tapi Sony (Sony Norde) banyak buat hantaran dan import banyak membantu.

"Saya juga gembira dengan beberapa pemain muda yang bermain dengan baik,” katanya.