SHAH ALAM - Bekalan air bagi 31 peratus kawasan yang terjejas akibat kejadian paip utama pecah di tapak projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping di Klang dijangka pulih selewatnya pada Ahad ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata buat masa ini pihaknya sedang berusaha memulihkan baki kawasan terlibat dan berdasarkan pemantauan bacaan tekanan di sistem agihan pada pagi ini, 69 peratus dari jumlah keseluruhan 65 kawasan terjejas telah kembali pulih.
Beliau berkata sebagai langkah jangka masa panjang, pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lebuhraya Shapadu telah melaksanakan kerja-kerja pemasangan dan pengalihan paip utama 1400mm tersebut bermula malam tadi.
"Pelaksanaan itu dijangka siap pada hari Ahad ini dan Air Selangor juga memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami kepada semua pelanggan yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kejadian yang berlaku itu telah menjejaskan pengguna di 65 kawasan sekitar Klang khususnya mereka yang mendapat bekalan air dari Kolam Air Bukit Lipat Kajang.
Bagaimanapun, kerja-kerja baik pulih tersebut dikatakan memakan masa berikutan berlaku insiden pergerakan tanah beberapa kali sepanjang tempoh kerja pembaikan berkenaan.
Mengulas lanjut, Abdul Raof berkata berdasarkan perkembangan insiden pergerakan tanah itu, pihaknya mendapati kerja-kerja pembaikan tersebut agak berisiko memandangkan ia berkemungkinan besar akan mengakibatkan keadaan lebih kritikal sekiranya dilakukan di lokasi sama.
"Oleh itu pihak kami telah mengambil keputusan untuk melaksanakan tindakan alternatif bagi penyaluran bekalan air melalui sistem agihan yang lain dari sumber air terawat yang sama iaitu dari Kolam Lam Bee ke Kolam Lipat Kajang dan Kolam Bukit Rajah Industri," katanya.
Melalui langkah ini, Abdul Raof berkata pihaknya dapat memulakan pemulihan bekalan air secara berperingkat seawal Rabu lalu dan menyasarkan 45 kawasan yang menerima bekalan dari Kolam Terminal Lipat Kajang akan pulih berperingkat tengah hari semalam.
Manakala bagi pelanggan yang menerima bekalan melalui Kolam Bukit Rajah Industri, beliau berkata pihaknya menyasarkan bekalan akan pulih secara berperingkat dengan pemulihan keseluruhan disasarkan pada jam 3 petang hari ini.
"Bagaimanapun, ekoran penggunaan dan penyimpanan bekalan oleh pengguna yang telah pulih menyebabkan masa pemulihan perlu dilanjutkan. Maka, sasaran awal yang pihak kami umumkan sebelum ini tidak lagi boleh dicapai," katanya.
Tambah beliau pihaknya juga akan terus menggerakkan bantuan lori tangki dengan memfokuskan kepada kawasan belum pulih dan membuka operasi di empat Pusat Khidmat Setempat iaitu PKS Bandar Sultan Suleiman - Masjid As-Saadah, Lingkaran Sultan Abd Samad 2, PKS Bandar Parkland - Taman Rekreasi, Jalan Delima 8, PKS Taman Sri Andalas - Tapak Parkir Taman Rakyat, Jalan Tun Dr. Ismail dan PKS Batu Belah - sebelah Aeon Big, Jalan Kapar," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Proses pemulihan bekalan air masih berlangsung