SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat tiga surah pilihan bagi penganjuran Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, penganjuran kali ke-9 yang turut mendapat kerjasama daripada 19 rakan sinergi media itu memberi fokus kepada agenda anak muda dan peranan orang dewasa dengan membawa misi 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar'.
Tiga surah yang dimaksudkan adalah Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr yang menjadi penghubung kepada usaha melahirkan golongan muda berkemahiran dalam membina projek pembangunan negara sekali gus melahirkan pemimpin soleh.
"Pemuda menjadi tonggak dan aset penting dalam pembinaan negara dan tema kali ini dicetuskan daripada pepatah Arab iaitu 'pemuda hari ini, pemimpin hari esok' mengenai pembinaan pemuda yang akan menjadi pemimpin negara di masa hadapan.
Sementara itu mengenai pemilihan surah, Marhaini menjelaskan, Al-Asr merupakan antara surah terpendek dalam al-Quran namun membawa nilai besar berkaitan masa.
Beliau berkata, pemuda mempunyai banyak masa tetapi tidak diguna untuk mencambahkan projek-projek kebaikan.
"Surah ini mendidik pemuda untuk mengambil tindakan segera, 'sense of urgency' dan menggunakan masa lebih produktif serta proaktif agar tidak rugi.
"Surah Al-Insan pula membawa 11 karakter abrar iaitu orang yang memimpin projek-projek pembangunan masyarakat manakala Al-Fatihah merupakan pembuka potensi manusia untuk menjadi individu yang mahir," jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, program yang mendapat kerjasama daripada 19 rakan sinergi media itu akan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang.
"Kini tiba masanya kita semua bangkit untuk bersyukur dan membina legasi negara Madani yang amanah, ikhlas, teguh, harmoni, sejahtera serta progresif selari dengan tema Hari Kebangsaan, ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.
"Kita perlu tinggalkan segala pertelingkahan, perbalahan serta perpecahan di segenap lapisan rakyat mahupun pemimpin iaitu dengan merapatkan jurang perbezaan dan besarkan persamaan dalam membangunkan negara,” ujarnya.