KOTA BHARU - Sepasang bayi perempuan kembar seiras berusia tujuh bulan yang menderita masalah paru-paru kronik memerlukan dana untuk mendapatkan vaksin Synagis Palivizumab bagi meneruskan hidup mereka.
Sinar Harian pada 21 Julai lalu melaporkan Nur Alya Aleesya Mohd Syahmi dan Nur Aila Alysa berdepan risiko jangkitan virus Respiratory Syncytial (RSV) yang boleh membawa maut sekiranya gagal mendapatkan vaksin tersebut.
Ibu mereka, Erma Eafah Aisah Mat Napi, 35, berkata, lebih membimbangkan apabila kedua-dua anaknya itu sudah dibenarkan keluar dari hospital sejak Khamis lalu.
"Kini saya terpaksa menempatkan mereka berdua di bilik khas yang dilengkapi pendingin hawa serta penapis udara hasil sumbangan orang ramai.
"Selain itu mereka juga tidak boleh menerima kunjungan orang ramai kerana dibimbangi terdedah dengan suasana berdebu dan tidak selesa yang akan membahayakan nyawa,” katanya.
Ujarnya, selain kos vaksin bernilai RM4,000 satu, setiap seorang bayi memerlukan sekurang-kurangnya lima pengambilan.
Erma Eafah Aisah memberitahu, untuk kos itu sahaja dia memerlukan RM20,000 dan belum lagi termasuk bayaran bil bernilai RM14,000 selepas ditahan di hospital selama tujuh bulan.
"Bagaimanapun saya sudah melangsaikan bil hospital sebanyak RM3,000 hasil sumbangan orang ramai dan baki selebihnya RM11,000 dalam proses rayuan untuk pengurangan daripada pihak Tafsiran dan Unit Kebajikan Sosial Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
"Itu belum lagi termasuk kos susu khas yang menelan belanja RM800 sebulan serta lampin pakai buang,” ujarnya.
Sebelum ini dia dan suami, Mohd Syahmi Abd Rahman, 33, menetap di Kuala Lumpur dan mengusahakan perniagaan dekorasi majlis secara kecil-kecilan.
Tetapi sekarang dia dan suami meneruskan perniagaan tersebut di sini tetapi tidak mendapat sambutan kerana kurang dikenali.
Mereka kini terpaksa berniaga aiskrim Malaysia, bihun dan laksa yang diletakkan di kedai kopi untuk kelangsungan hidup serta mengumpul dana bagi membiayai kos rawatan anak kembar selain terpaksa menumpang di rumah keluarga.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Mybank 162348552082, Erma Eafah Aisah Mat Napi.