KUALA LUMPUR - Pelaksanaan rintis Skim Perubatan Madani akan diperluaskan bagi memastikan lebih ramai menerima rawatan kesihatan secara percuma di klinik perubatan swasta yang berdaftar.
Syarikat yang mengurus dan melaksana Skim Perubatan Madani, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dalam kenyataan hari ini memaklumkan skim itu akan diperluaskan ke Kota Bharu, Pasir Mas di Kelantan, Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis pada minggu keempat bulan ini.
Ini menjadikan keseluruhan 21 daerah yang terlibat dalam inisiatif rintis kerajaan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut) itu.
Menurut kenyataan itu Fasa 1 rintis Skim Perubatan Madani telah dilaksanakan di 10 daerah iaitu Johor Bahru (Johor); Kuala Lumpur; Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak (Selangor); Kinta (Perak); Timur Laut (Pulau Pinang); Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).
Fasa 2 skim itu pula bermula di dua negeri iaitu Terengganu di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu manakala di Kedah melibatkan Kota Setar dan Kuala Muda, pada minggu kedua bulan ini.
Fasa rintis ini dijalankan untuk tempoh enam bulan bermula 15 Jun lepas dan akan berakhir 31 Disember depan.
ProtectHealth menyebut kumpulan sasaran bagi skim tersebut adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2023 dalam tiga kategori kalangan B40 iaitu berkeluarga, warga emas (tanpa pasangan) dan bujang, dengan kelayakan adalah secara automatik.
"Manfaat skim ini adalah penerima yang layak boleh menerima rawatan penjagaan kesihatan primer akut secara percuma di klinik-klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani dan tidak perlu membayar apa-apa kepada klinik,” menurut kenyataan itu.
Rawatan pesakit luar kes-kes akut merangkumi demam dan selesema, cirit birit dan muntah, terseliuh, sakit kepala serta trauma ringan seperti luka ringan.
Peruntukan manfaat rawatan skim bagi setiap isi rumah berkeluarga adalah sehingga RM250, warga emas (tanpa pasangan) (RM125) dan individu bujang (RM75).
Menurut ProtectHealth, manfaat skim tersebut adalah sekali sahaja sepanjang tempoh rintis (one-off) dan penerima manfaat hanya perlu membawa kad pengenalan ke klinik dan boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis digunakan.
"Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di klinik perubatan swasta kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan,” menurut kenyataan itu.
ProtectHealth menyebut sejak dilancarkan, lebih 30,000 isi rumah telah mendapatkan manfaat rawatan Skim Perubatan Madani di klinik perubatan swasta yang berdaftar.
Penerima boleh menyemak kelayakan di laman sesawang https://protecthealth.com.my/skimperubatanmadani. - Bernama