IPOH - Seorang usahawan Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menerima pengiktirafan daripada The Brunei Book of Records dalam membantu usahawan negara terbabit.
Azirul Syafiq Sazali, 28, mencipta rekod sebagai Perunding Perniagaan Antarabangsa Termuda membantu ribuan pemilik perniagaan Brunei untuk meneroka pasaran China bagi tujuan ekonomi dan merevolusikan pemasaran Brunei di China.
Beliau berkata, sepatutnya sijil pengiktirafan tersebut diterima pada akhir tahun lepas, namun disebabkan kekangan masa dan kerja, ia diterima pada tahun ini.
Menurutnya, kejayaan itu disifatkan sangat bermakna hasil usaha membantu ahli-ahli perniagaan di negara Brunei sejak tahun 2016.
"Program ini dapat membuka mata usahawan Brunei tentang kepentingan memahami teknik untuk berurusan dan berdagang secara terus melalui China. Dalam masa yang sama kami juga memperkenalkan teknik mudah untuk memahami konsep pemasaran atas talian terutamanya dari platform media sosial.
"Di Malaysia kebanyakannya sudah tahu dan lebih ke hadapan dalam ilmu pemasaran dan perdagangan. Jadi sedikit sebanyak kita membantu negara jiran yang mempunyai sumber ekonomi dan nilai mata wang kukuh sambil berkongsi cara, idea serta teknik agar dapat berjalan seiring dengan negara-negara maju lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Azirul Syafiq berkata, antara program yang dijalankan adalah seminar keusahawanan dan perdagangan antarabangsa, pemasaran atas talian serta teknik memborong.
Katanya, hasil usaha yang dilakukan itu telah membantu banyak persatuan usahawan Brunei untuk memahami konsep dalam pemerdagangan antarabangsa.
"Saya telah terlibat aktif bagi membuka mata rakyat Brunei untuk memahami konsep perdagangan antarabangsa terutama melibatkan negara China. Kami bertemu di Guangzhou, China ketika itu saya berusia 21 tahun.
"Bermula dengan pertemuan itu, mereka menjemput saya untuk membina program-program kefahaman bagi teknik ini agar ahli perniagaan Brunei dapat berdaya saing dengan usahawan di negara jiran," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga usahawan dari Perak merakam penghargaan kepada The Brunei Book of Records atas pengiktirafan tersebut.
Katanya, majlis penyerahan tersebut berlangsung di Bandar Seri Begawan pada Selasa.