Siti Nordiana cuba beri kelainan

Iklan
Arah Cinta cabar vokal Nana.

SETELAH beberapa kali menghasilkan lagu sendiri selepas menjuarai Gegar Vaganza musim kedua (GV2) penyanyi, Siti Nordiana kembali memberi kepercayaan kepada komposer lain untuk menghasilkan single terbaharunya.

Lagu Arah Cinta, hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna dan diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music, menjadi taruhan terbaharu Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana.

Iklan
Iklan

Malah wanita berusia 38 tahun itu mempunyai alasan tersendiri berbuat sedemikian.

"Saya sebenarnya tidak ada masa untuk buat lagu terbaru. Lagipun untuk buat lagu dalam tempoh yang singkat sangat sukar kerana kekangan idea.

Iklan

"Saya juga perlu cepat untuk keluar dengan karya baharu, jadi kalau nak tunggu idea sendiri itu memang akan ambil masa sedikit. Jadi, saya mempertaruhkan karya komposer lain sebagai single sendiri,” katanya.

Tambah Siti Nordiana, dia perlu membuka ruang untuk bekerjasama dengan komposer-komposer lain termasuk Ikhwan agar lagu yang dihidangkan kepada pendengar mempunyai pelbagai rasa dan segar.

Iklan

"Pada masa sama, saya mahu cuba pelbagai sentuhan untuk melihat bagaimana sambutannya. Lagu ciptaan saya sendiri sudah tentu akan dibuat juga tapi akan ambil masa lama untuk disiapkan,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai Arah Cinta, Nana berkata, lagu itu memberi cabaran tersendiri selain menguji vokalnya.

"Keunikan single kali ini, ia menguji vokal saya. Mungkin sudah lama orang tak mendengar saya nyanyi lagu yang ‘power ballad’.

"Jadi, dalam lagu Arah Cinta ini, Ikhwan letakkan dinamik dalam lagu. Dari bahagian ‘soft’ ke ‘strong’ agak mencabar vokal saya,” jelasnya.

Single Arah Cinta boleh mula distrim di semua pelantar muzik dan video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Menariknya, sebaik dilancarkan, single Arah Cinta terus menduduki tangga #1 carta iTunes.