PASIR GUDANG - Masalah status tanah menjadi punca Ranhill SAJ Sdn Bhd tidak dapat menyediakan bekalan air bersih di 30 buah rumah di Kampung Orang Asli Pasir Puteh di sini yang sudah diduduki sejak 1970-an.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, tanah tersebut adalah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Johor Corporation (JCorp).
"Isu ini menjadi rumit dan tak boleh selesaikan dalam masa terdekat. Kita akan membuat perbincangan secara terperinci yang akan diselaraskan di peringkat pejabat daerah," katanya selepas melawat kampung itu pada Rabu.
Terdahulu, Zahari mengadakan perbincangan bersama pegawai daerah, pihak Ranhill SAJ, pejabat tanah, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar berkenaan masalah itu.
Baru-baru ini Sinar Harian menyiarkan masalah 130 penduduk kampung tersebut yang tidak mempunyai bekalan air bersih serta merayu pihak terbabit segera menangani masalah itu yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Ketika ini mereka mendapatkan sumber air dari satu paip besar disediakan Ranhill SAJ terletak hampir satu kilometer dari kampung itu sebelum disalurkan ke dalam tangki air disediakan penduduk di kawasan belukar berdekatan tebing sungai.
Penduduk mendakwa, mereka terpaksa bersesak mengangkut air menggunakan baldi dan botol di kawasan tangki itu sehingga lebih tiga kali sehari selain menadah air hujan serta membeli air bersih untuk mendapatkan air bersih bagi kegunaan harian.
Mengulas lanjut, Zahari berkata, bagi pelan jangka pendek, pihak kerajaan negeri meminta Ranhill SAJ untuk menambah satu atau dua tangki air ke kampung itu bagi menampung keperluan penduduk.
"Bagi pelan jangka panjang, kita akan bincang lagi, nampak ada penyelesaian cuma tak boleh selesaikan segera dan perlukan penglibatan banyak pihak termasuk agensi kerajaan.
"Saya harap penduduk kampung bersabar, tadi sudah bincang dengan mereka dan ada yang minta supaya segera diselesaikan. Isu yang berlarutan berpuluh tahun, takkan boleh selesai dalam masa tiga bulan, ia akan ambil sedikit masa tetapi kita tak lepas tangan," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Sharifah Rosiah Syed Mahmud, 48, bersyukur kerana masalah mereka tidak ada sistem perpaipan yang sempurna diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
Dia yang mempunyai tiga anak dan bekerja di tempat ternakan kupang di kampung itu berkata, mereka terpaksa membeli air bersih di kedai runcit berhampiran atau membeli air paip daripada jiran selain menadah air hujan untuk kegunaan seharian.
Bagi Suria Entel, 32, keadaan tersebut amat menyukarkan kehidupan seharian penduduk kerana mereka perlu menunggu giliran dan menghabiskan masa yang lama bagi menggunakan sumber air yang terhad itu.