MBMB keluar notis pasang Jalur Gemilang kepada pemilik premis

Iklan
Gambar hiasan - Foto fail Bernama

MELAKA - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengeluarkan notis pemasangan Jalur Gemilang kepada semua pemilik bangunan di bawah kawasan pentadbirannya khususnya premis perniagaan bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, walaupun MBMB tidak menguatkuasakan arahan pemasangan Jalur Gemilang yang tertakluk di bawah syarat lesen perniagaan dan boleh dikenakan kompaun RM250, pemilik premis perniagaan disaran mematuhi peraturan itu bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Iklan
Iklan

"MBMB sebenarnya boleh mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis perniagaan yang ingkar, tetapi kita hanya mengeluarkan notis kepada mereka kerana ada antara mereka sibuk berniaga sehingga terlupa untuk memasang Jalur Gemilang.

"Kita tidak mahu pemasangan Jalur Gemilang ini menjadi satu paksaan, sebaliknya perlu dilakukan dengan hati terbuka dan semangat patriotisme sebagai rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MBMB dan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBMB yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Shadan berkata, berdasarkan pemerhatian setakat ini, banyak bangunan premis perniagaan di sekitar kawasan MBMB telah menaikkan Jalur Gemilang dan inisiatif berkenaan juga sedang giat dilaksanakan di peringkat MBMB.

Iklan

Beliau berkata, lebih 1,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz dipasang di sepanjang laluan di kawasan pentadbirannya bermula di Bangunan MBMB di Ayer Keroh sehingga Banda Hilir.

Katanya selain itu, bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan, MBMB juga akan menganjurkan Program Ride Tun Seri Setia yang akan menjelajah di seluruh Melaka sambil membawa Jalur Gemilang pada Sabtu ini.

"Program ini akan disertai 470 peserta bermula di Melaka Tengah iaitu di MBMB dan bergerak ke Jasin, Alor Gajah sebelum berakhir di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.

"Kembara bermotosikal berkenaan akan bermula pada 7 pagi hingga 6.30 petang dan pada sebelah malamnya kita ada Program ‘Ride and Run', Santai@BandaHilir atau dikenali sebagai Program Belia Berkarya melibatkan lebih 100 belia," katanya. - Bernama